
PERTUDUHAN telah dibaca beberapa kali. Hukuman juga sudah jatuh. Vokalis grup Ungu, Pasha, 30, didapati bersalah oleh Pengadilan Negeri Bogor, Jawa Barat, Indonesia pada 19 Mac lalu kerana mencederakan mantan isterinya, Okie Calerista Agustina.
Tidak dipenjara, dia sebaliknya berada di bawah pengawasan pihak berkuasa selama 10 bulan hingga setahun. Namun, jika dia sekali lagi melakukan perbuatan itu, bilik gelap dengan jeriji besi bakal menanti dirinya untuk tempoh setahun enam bulan.
Pasrah dengan kuasa penuh mahkamah, pemilik nama berdaftar Sigit Purnomo Syamsuddin Said menganggap segala yang berlaku punya hikmah tersendiri.
"Saya akui ada buat perbuatan tidak menyenangkan. Pada saya, ia tidak jadi masalah kerana setiap orang pasti ada perasaan marah. Terus terang, saya tidak suka naik angin. Tetapi kalau orang sengaja senggol tangan, pasti kita marah. Ia sama saja situasi saya dan Okie.
"Begitupun, saya sungguh bersyukur kerana insiden ini menyebabkan hubungan saya dan bekas isteri mula okey. Kami sudah boleh berkomunikasi dan menghargai antara satu sama lain dengan lebih baik selepas beberapa kali naik dan turun pejabat pengadilan.
"Biarpun kes yang berlanjutan ini memenatkan kedua belah pihak, saya gembira kerana akhirnya ia berakhir. Kini saya dan Okie memberi fokus soal membesarkan anak-anak," jawab bapa kepada tiga cahaya mata, Kisya Alvaro Putra Sigit, Shakinah Azalea Napasha, dan Nasha Anaya Putri Valentina Pasha.
Untuk rujuk kembali dengan Okie, ia bukan mimpi sempurna Pasha. Meskipun menyedari ajal, maut dan jodoh ditentukan Sang Pencipta, dia semahunya menolak menjalin semula ikatan dengan wanita itu.
"Benar, ini semua kuasa Allah. Tetapi buat masa ini saya tidak mungkin rujuk dengan Okie. Penceraian bukan perkara boleh dibuat main. Lagipun dia bilang tidak mahu bersama saya lagi," jelasnya yang berpisah secara rasmi pada 20 Januari 2009 manakala hak penjagaan anak-anak diberikan sepenuhnya kepada Okie.
Gosip cinta Rossa
![]() |
| PASHA bersyukur hubungannya dengan Okie kembali pulih. |
Walaupun maruahnya tercalar dan dianggap kaki pukul, Pasha bagaimanapun terus dicintai peminat. Tanpa sebarang sikap skeptikal, mereka menerima dirinya dengan lapang dada.
"Saya lihat kes ini membuatkan populariti Ungu jadi lebih baik. Ia bukan merudum seperti digambarkan sesetengah pihak. Lagipun saya tidak pernah bertanyakan reaksi orang ramai tentang masalah yang berlaku dalam rumah tangga kami.
"Paling mengejutkan apabila lebih ramai masyarakat lebih menyayangi dan mengambil berat dengan keadaan saya terutama golongan ibu. Sebelum ini saya jarang berpeluang bertemu mereka. Rata-ratanya berusia 40 hingga 50 tahun menasihati saya agar bersabar dengan dugaan ini.
"Saya pasti ada peminat yang bercakap negatif. Setakat ini, belum ada sesiapa datang sendiri sambil memarahi saya. Kalau cakap di belakang tidak tahulah pula. Tetapi saya malas ambil peduli kerana kalau ada kes ini mahupun tidak, orang lain pasti mengata juga," luah Pasha sambil memberitahu ahli kumpulan Ungu mengamal sikap terbuka membiarkan dia menyelesaikan masalah itu.
Bergelar duda terhangat di kota Jakarta barangkali membuatkan Pasha mudah mendampingi cinta baru. Percaya atau tidak, mungkin ramai golongan wanita di luar sana beratur semata-mata mahu menjadi insan istimewa di hati Pasha.
Spontan jawab Pasha: "Belum ada pengganti. Tetapi saya tidak serik berkahwin semula ditambah baru berumur 30 tahun. Saya tetap dengan cita rasa sendiri apabila menyukai wanita tinggi, berambut panjang dan kulit putih melepak."
Berbicara gosip menjalin cinta bersama penyanyi dan ibu tunggal dengan seorang anak lelaki iaitu Rossa, Pasha sekadar tergelak kecil sambil menafikan dakwaan tidak berasas itu.
"Kami macam adik-beradik dan cukup dekat antara satu sama lain. Kalau cerita ini terus disebar, kami tidak menghadapi masalah. Biarlah saja. Kalau cakap tidak sekalipun, orang ramai dan wartawan tetap buat andaian sendiri," akui Pasha sambil melayang senyuman manis.
Populariti Ungu memang tidak tergugat apabila mereka bakal mengadakan Ungu Mega Concert Malaysia 2010, pada 1 Mei pukul 8.00 malam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Tiket-tiket berharga RM50, RM80, RM100 dan RM200 boleh dibeli di cawangan
-cawangan TiketPro atau melalui laman web www.tiketpro.com.my.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: