Friday, April 23, 2010

Pelajar Cemerlang SPM Ikuti Kursus Di Kolej Swasta

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada pelajar terbaik SPM, Gladys Tan Yee Kim dari Sekolah Menengah Kerajaan Green Road, Kuching, Sarawak pada majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2009 di Kementerian Pelajaran, Putrajaya pada 19 Mac lalu.

KUCHING: Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia tahun lalu, Gladys Tan Yee Kim bakal mengikuti kursus peringkat prauniversiti di Taylor's University College sebelum melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dalam bidang psikologi.

Beliau berkata pengajian di bawah Program Pemindahan Ijazah Amerika itu adalah untuk selama setahun setengah yang akan bermula Jun ini.

Gladys yang memperolehi 10 A+ berkata beliau telah ditawarkan biasiswa oleh Bank Negara Malaysia dan Program Biasiswa Nasional untuk melanjutkan pelajarannya ke luar negara.

"Saya sedang menimbang universiti terbaik di Amerika Syarikat termasuk Stanford University dan Harvard University," katanya kepada pemberita pada Minggu Saham Amanah Malaysia 2010 di sini.

TAHNIAH... Pelajar Sekolah Menengah Kebagsaan Green Road, Gladys Tan Yee Kim berkongsi kegembiraannya dengan ibu bapa ketika menunjukkan slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kediamannya di Kuching, 11 Mac lalu.

Beliau muncul di majlis tersebut selaku ikon Permodalan Nasional Bhd.

Berkongsi resipi kejayaan beliau dengan para pelajar di program tersebut, Gladys berkata beliau tidak sesekali menghafal untuk lulus periksa tetapi mentelaah dan memahami pelajaran yang diajar oleh guru secara konsisten.

"Saya tiada resepi rahsia. Untuk berjaya tidak perlu bangun awal pagi atau tidur lewat malam untuk belajar sekiranya kita memberi perhatian yang sepenuhnya semasa guru sedang mengajar," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: