Friday, April 23, 2010

Litar rempit

GOMBAK: Penduduk Taman Melewar dan Taman Koperasi Polis di sini, dihantui kebimbangan berikutan kegiatan sekumpulan Mat Rempit yang menjadikan laluan di taman perumahan itu sebagai ‘litar lumba’ sejak kebelakangan ini.

PERLU PANTAU...laluan Jalan Taman Melewar ke Taman Koperasi Polis  yang didakwa dijadikan lokasi rempit.
PERLU PANTAU...laluan Jalan Taman Melewar ke Taman Koperasi Polis yang didakwa dijadikan lokasi rempit.
Kumpulan pelumba motosikal terbabit yang kebanyakannya belia sering menunggang secara berbahaya di beberapa jalan di kawasan perumahan itu.


Tinjauan Metroplus di kawasan berkenaan mendapati, golongan belia melepak di kawasan itu selain melakukan aksi menunggang motosikal secara berbahaya.


Keadaan diburukkan lagi berikutan ketiadaan bonggol dan jalan rata menyebabkan kegiatan Mat Rempit menjadi lebih ‘mudah’.


Penduduk, Azwan Shuhaimi, 28, berkata gejala Mat Rempit semakin membimbangkan kerana remaja termasuk yang masih di bangku sekolah kini berani melakukan aksi menunggang motosikal secara berbahaya.


Katanya, setiap petang dan malam remaja di situ akan melepak di kawasan berdekatan selain melakukan aksi yang boleh meragut nyawa mereka dan pengguna jalan lain.


“Mereka juga tidak menghiraukan pengguna lain kerana mahu menunjukkan aksi itu tanpa memikirkan nyawa orang lain dan menganggap tindakan mereka sebagai penunggang hebat.


“Aksi mereka boleh mengundang padah kerana ia membabitkan pengguna lain kerana mereka menunggang laju,” katanya ketika ditemui di Taman Koperasi Polis, baru-baru ini.


Menurutnya, ketiadaan bonggol di kawasan berkenaan memudahkan Mat Rempit menggunakan jalan itu sebagai jalan utama untuk melakukan aksi terbabit. Pelajar, Mutiah Syarif, 19, berkata gejala perlumbaan motosikal haram di kawasan itu merisaukan penduduk kerana ia boleh membahayakan nyawa mereka dan pengguna jalan raya lain.

“Saya bimbang untuk menggunakan jalan itu ketika waktu petang atau malam kerana mereka sering melepak di jalan berkenaan selain melakukan aksi maut.


“Remaja terbabit perlu insaf dan jangan jadikan kawasan ini sebagai tempat untuk menunggang motosikal berbahaya ia juga menjadi laluan orang ramai yang mahu ke pekan Gombak,” katanya.


Dia berharap, pihak berkenaan sentiasa membuat pemantauan di kawasan itu bagi menangani gejala Mat Rempit terbabit supaya kawasan taman perumahan itu kembali tenang.


Pekerja swasta, Abdul Mahfuz Abdul Karim, 24, berkata selain gejala Mat Rempit, dia meminta pihak berkuasa memasang lampu isyarat di simpang empat jalan utama kerana ia akan membahayakan nyawa penduduk.Katanya, ketiadaan lampu isyarat di pintu masuk ke lima taman perumahan berkenaan boleh mengundang padah apabila semua kenderaan akan berasak untuk masuk ke simpang serentak.


“Jalan ini menjadi laluan utama kepada lebih 2,000 penduduk. Ketiadaan lampu isyarat itu menyebabkan kemalangan sering berlaku walaupun hanya kecederaan kecil.


“Kamu mahu pihak berkenaan memasang lampu isyarat di sini kerana jalan ini agak sibuk ekoran menjadi laluan utama pengguna dan laluan bomba,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: