Tuesday, April 6, 2010

Nabil akui populariti merosot

MALAM kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009) yang berakhir dengan gah di Kota Keriangan, Genting Highlands, malam kelmarin melakar sejarah amat bermakna buat Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

NABIL...kes berpeluk dan saman dipercayai mempengaruhi undi.
NABIL...kes berpeluk dan saman dipercayai mempengaruhi undi.

SAMA POPULAR...populariti Nur Kasih bantu Tizz dan Remy


SAMA POPULAR...populariti Nur Kasih bantu Tizz dan Remy
Siti, 31, bukan saja merampas kembali trofi Bintang Paling Popular daripada Raja Lawak 2, Ahmad Nabil Ahmad, 27, malah turut mempertahankan gelaran Penyanyi Wanita Popular buat kali ke-14 sejak 1996.

Pada majlis anugerah edisi ke-23 yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan Hot FM mulai 9 malam itu, Siti akui kemenangannya adalah anugerah terindah sempena ulang tahunnya ke-15 menjadi anak seni pada April ini.

Terbukti, kontroversi dikaitkan dengan Siti serta status isteri sedikitpun tidak menggugat popularitinya sebagai suri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa.

Dalam sidang media tengah malam di Hotel Genting, selepas majlis selesai, Siti yang anggun dengan busana rekaan Rizman Ruzaini berkata, dia sangat menghargai sokongan peminat dan pihak media selama ini.

"Siti sangat bersyukur dengan kejayaan malam ini. Siti percaya kejayaan tidak akan datang bergolek kepada kita. Semuanya hasil kerja keras, bersabar dan bekerjasama baik dengan semua orang.

"Ia juga kerana sokongan ahli kelab CT Zone yang setia mengundi Siti setiap tahun. Terus terang, Siti ada peminat terhebat yang sedia bersama Siti ketika suka dan duka. Tanpa sokongan peminat, Siti tidak akan berada di ini.

"Sebenarnya, dalam tempoh 15 tahun berkecimpung dalam bidang seni, banyak kontroversi melanda Siti, tapi pengundi ABPBH begitu kuat dan setia menyokong Siti dari belakang," katanya.

Untuk gelaran terhebat itu, Siti membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM328,000 yakni barang kemas Habib bernilai RM150,000, kereta Nissan x-Trail 2.0L bernilai RM130,000, perabot Empire Classic bernilai RM30,000 serta pakej penginapan mewah di Head of State Suite dari Hotel Palace of the Golden Horses bernilai RM18,000.

Siti juga mendapat hadiah berjumlah RM27,000 lagi bagi kategori Penyanyi Wanita Popular yang dimenanginya.

Kata Siti, dia akan menggunakan kereta yang dimenanginya itu untuk kegunaan ke pejabat.

Dia juga akan memperagakan barangan kemas Habib yang dimenangi itu pada majlis yang sesuai.

Namun kata-kata yang tentunya menyedihkan peminat Siti ialah tahun ini adalah pencalonan terakhir untuknya dalam ABPBH.

"Siti harap semua pihak memahami keputusan Siti ini. Siti akui ABPBH sudah mencatat banyak kejayaan dalam karier Siti selama ini. Siti juga semakin matang bersama ABPBH. Jangan risau, pada tahun akan datang, Siti akan tetap menjadi penyokong setia ABPBH. Kalau Siti kalah malam ini pun, Siti tetap menyokong acara ini juga," katanya.

Ditanya, seandainya peminat tidak merestui keputusannya untuk mengundurkan diri, Siti berkata, dia tetap berpegang dengan keputusan muktamad berkenaan.

"Saya yakin inilah masa paling sesuai buat Siti berehat dari ABPBH. Sudah sampai masanya Siti beri fokus kepada bidang perniagaan dan produk pertama Siti iaitu SimplySiti kerana suami dan rakan kongsi banyak melabur dalam perniagaan ini.

"Peminat masih berpeluang melihat Siti menyanyi di pentas ABPBH sekalipun tidak bertanding lagi. Sebab itu Siti maklumkan perkara ini kepada peminat sejak awal lagi.

"Siti tak mahu cakap pengunduran ini untuk beri peluang kepada orang lain kerana tidak mahu orang cakap, Siti angkuh dan cakap besar pula," katanya.

Bagaimanapun, kata Siti, dia masih ingin bertanding dalam anugerah lain seperti Anugerah Industri Muzik (AIM) selepas ini.

"Saya masih hasilkan album baru dan bekerja dengan komposer serta penulis lirik. Hasil kerja keras mereka yang terbabit dalam album saya perlu diberi pengiktirafan dalam industri seni. ABPBH lebih kepada pengiktirafan populariti secara individu," katanya.

Bagi Nabil, dia akur dengan kekalahannya kepada Siti untuk trofi Bintang Paling Popular ABPBH 2009.

Nabil yang berasal dari Mambau, Negeri Sembilan berkata, sejak dikaitkan dengan kes khalwat dan saman, dia sedar popularitinya terjejas.

"Saya datang ke majlis ini untuk memberi sokongan kepada acara berprestij ini. Kalah atau menang, semuanya saya serahkan 100 peratus kepada peminat.

"Sebagai artis, saya hanya pastikan sentiasa memberikan yang terbaik pada bidang diceburi," katanya.

Sekalipun tewas pada Siti, Nabil masih mampu mempertahan gelaran Artis Komedi Lelaki Popular dengan mengalahkan AC Mizal, Afdlin Shauki, Saiful Apek dan Zizan.

Malam anugerah itu menyaksikan kejutan bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular kerana dimenangi Aizat yang berjaya mengetepikan Raja SMS, Asmawi Ani atau Mawi yang memenanginya selama empat kali berturut-turut sejak 2005.

"Aizat memang tak sangka menang malam ini. Calon lain terutama Faizal Tahir, Akim dan Mawi juga ada ramai peminat," kata Aizat.

Pelakon Filem Lelaki Popular menyaksikan kemenangan berpihak pada pelakon Que Haidar yang mengungguli gelaran itu dua tahun berturut sejak tahun lalu. Nampaknya ia tuah Que yang baru bergelar ayah pada Ratu Haidar.

Bagi kategori Artis Komedi Wanita Popular, pelakon Norkhiriah juga berjaya mempertahankan gelaran itu dua tahun berturut sejak tahun lalu. Dia bersaing dengan Top 5 lain seperti Aleza Abdullah (Enot), Didie Alias, Kenchana Dewi dan Nik Sayyidah.

Kategori lain tidak banyak berubah iaitu Aznil Nawawi (Pengacara TV Lelaki Popular) buat kali ketujuh sejak 2003 dan Fara Fauzana (Penyampai Radio Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular) serta Rabbani (Penyanyi Nasyid Popular, lapan kali berturut-turut sejak 2001).

Kategori Pelakon Filem Wanita Popular pula menyaksikan kemenangan berpihak kepada Liyana Jasmay dan mengetepikan Maya Karin yang pernah memenanginya pada 2005.

Faizal Ismail, DJ Hot FM, mengulangi kejayaan sebelum ini sebagai Penyampai Radio Lelaki Popular. Dia mendedikasi anugerah itu kepada Allahyarham Din Beramboi yang kembali ke rahmatullah pada 2 April lalu.

Kategori Artis Baru Wanita Popular dibolot Yuna manakala Penyanyi Duo/ Berkumpulan Popular dimenangi Bunkface.

Kemunculan Tiz Zaqyah yang mengungguli kategori Pelakon TV Wanita Popular dan Remy Ishak (Pelakon TV Lelaki Popular) mendapat sorakan penonton kerana aura drama Nur Kasih mereka yang sangat hebat.

Sementara itu, penghibur 70-an dan 80-an, Datuk Khadijah Ibrahim menerima Anugerah Sepanjang Hayat kerana kecemerlangan beliau sebagai penyanyi selama 30 tahun. Dalam ucapannya, Khadijah dengan penuh semangat meminta semua artis bersatu hati.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: