CINTANYA terhadap bidang muzik cukup dalam, ibarat irama dan lagu yang tidak mungkin dapat dipisahkan. Begitulah obsesi dan kegilaan Mohd Adzharul Ismail, 22, terhadap bidang muzik.
"Sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata, sejak aktif bermain muzik pada 2006, ia (muzik) menjadi sebahagian daripada diri saya," katanya yang kini menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Muzik dan pengkhususan bermain alat muzik Cello.
Bercerita mengenai pembabitannya dalam bidang berkenaan, Adzharul berkata, dia sebenarnya bermula agak lewat untuk mempelajari cara bermain muzik, khususnya berkaitan instrumen bass.
"Saya mula belajar muzik secara serius ketika berusia 18 tahun iaitu selepas mendapat tawaran belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam diploma muzik.
"Sejak itu saya tidak menoleh ke belakang lagi dan meneruskan minat dalam bidang ini, dan dalam masa sama saya tekad mahu menjadikan ia sebagai kerjaya dalam hidup saya," katanya.
Menurut Adzharul, saat mula mempelajari muzik, iaitu double bass adalah masa yang terlalu sukar dilaluinya kerana dia terpaksa memulakannya daripada A hingga ke Z.
"Ketika itu saya masih kosong dan tidak tahu apa-apa mengenai muzik. Ada ketika saya berasa terlalu payah mempraktikkan kemahiran bermain bass hingga membuatkan saya menangis.
"Namun didorong minat mendalam, saya terus belajar dan kini semua itu berbaloi kerana sedikit sebanyak saya menguasai hampir semua permainan instrumen berkaitan bass," katanya.
Selepas menguasai instrumen double bass dan elektrik bass di UiTM, Adzharul kini dalam proses mempelajari cara bermain cello.
Adzharul mengakui, mungkin ada yang berasa janggal dengan minatnya yang hanya tertumpu pada instrumen bass, namun baginya ia satu kelebihan kerana tidak ramai meminati pengkhususan dalam bidang terbabit di negara ini.
"Lagi pula, bass adalah nadi muzik. Tanpanya, muzik bagai tiada latar dan pesona," katanya yang meminati jenis muzik jazz dan progresif rock.
Ditanya mengenai masa depannya dalam bidang terbabit, Adzharul setakat ini hanya ingin menumpukan perhatian dalam pelajaran dan mahu mencari pengalaman terlebih dulu.
"Dalam bidang muzik, pengalaman adalah segala-galanya. Itulah sasaran saya buat masa ini, tambahan pula ilmu muzik adalah satu skop yang luas.
"Saya masih terlalu mentah. Jika muzik itu diibaratkan lautan, ilmu yang ada pada saya ketika ini hanya setitik. Yang perlu saya fikirkan sekarang adalah terus belajar," katanya.
>Profil
NAMA: Mohd Adzharul Ismail
UMUR: 22 tahun
KARIER: Pemain elektrik bass, double bass dan cello
ASAL: Kajang, Selangor
KELUARGA: Anak ketiga daripada lima beradik
HOBI: Bersukan, bermain bola
PENDIDIKAN: Diploma Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM)
KURSUS TERKINI: Sijil Muzik (Cello), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
PEMBABITAN: Pemain muzik bebas, bermain untuk orkestra UKM dan pernah bermain bersama Kombo Asli UiTM
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: