Sunday, April 11, 2010

Gemalai peluncur

MATA terus terpesona melihat aksi lincah peluncur ais meluncur bebas sambil mengikut alunan muzik yang mengasyikkan. Gerak tari mereka yang lembut sungguh memukau dan menghiburkan.

pix_middle
pix_topright

Kejohanan yang dianjurkan Persatuan Meluncur Ais Malaysia (ISAM) itu bukan sekadar medan mengukur keupayaan peluncur ais berpotensi di negara ini, malah ia menjadi wadah kepada remaja dan kanak-kanak mengetengahkan bakat dalam sukan terbabit.


Rata-rata peserta dalam kejohanan itu kali ini membabitkan generasi muda berusia antara tujuh hingga 17 tahun bagi lapan kategori, selain penyertaan peluncur muda dari Amerika Syarikat, China, Sweden, Jepun dan Indonesia.


Presiden Persatuan Meluncur Ais Malaysia (ISAM), Datin Laila Abdullah, berkata KLAK cuba memainkan peranan penting bagi mencungkil bakat baru dalam sukan ini di Malaysia untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.


Yang menarik, katanya, menerusi kejohanan yang memasuki tahun kelima ini, peserta dan peluncur muda yang cemerlang sepanjang kejohanan berpeluang mewakili negara ke Kejohanan Musim Sejuk Asian (Asian Winter Games-AWG) di Kazakhstan pada 2011.

"Tiba masanya sukan ini diberi perhatian serius dan pembabitan negara dalam kejohanan AWG akan menjadi sejarah memandangkan ia penyertaan pertama negara dalam kejohanan seumpamanya di peringkat antarabangsa.


"Walaupun pembabitan negara dalam arena sukan ini masih terlalu mentah di peringkat antarabangsa, saya percaya ia permulaan baik ke arah mengembangkan sukan ini di Malaysia," katanya.


Menurut Laila, penganjuran KLAK kali ini juga bagai satu dimensi baru kepada ISAM selepas diterima sebagai ahli dalam Kesatuan Luncur Ais Antarabangsa atau International Skating Union (ISU).


Laila berkata, ISAM secara rasminya diterima sebagai ahli ISU pada November lalu dan ia berita baik buat ISAM, terutama dalam aspek pembangunan sukan ini keseluruhannya.


"Dalam kejohanan (KLAK) tahun ini, pengiraan mata berdasarkan penilaian komputer dan sistem ISU, selain pembabitan juri terlatih dari Australia, Kanada dan Belgium.


"Saya percaya pembabitan juri luar bakal memberi kesan besar kepada peluncur tempatan kerana ia boleh menjadi kayu pengukur kepada mereka untuk menilai kemampuan," katanya.


Peserta dan peluncur muda berbakat kejohanan, Syaza Nazihah Suimi, 14, berkata meskipun sudah empat kali menyertai kejohanan terbabit sejak 2006, saingan tahun ini lebih sengit berbanding sebelumnya.

Katanya, ini kerana peserta saling bersaing menonjolkan bakat mereka untuk merebut peluang menempah tempat menyertai kejohanan AWG.


"Siapa tidak mahu menempah sejarah negara yang bakal menyertai kejohanan terbabit buat kali pertama, ia menjadi impian kepada mana-mana peluncur (ais) di negara ini.


"Apa pun, bagi saya buat masa ini saya perlu memberi tumpuan untuk meningkatkan prestasi. Walaupun lebih tujuh tahun bermain luncur ais, saya percaya masih banyak yang perlu saya pelajari untuk meningkatkan kemahiran meluncur," katanya.


Syaza yang masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman Petaling Jaya antara pemain luncur ais terbaik negara bagi kategori remaja 17 tahun ke bawah dan di latih jurulatih tempatan, Surayu Ismail.


Dia pernah memenangi pingat emas dan perak dalam Kejohanan Luncur Ais di Singapura pada 2006, selain menguasai beberapa kejohanan tempatan akhir-akhir ini.


Berbalik kepada saingan KLAK, rakan Syaza, Ryan Yee Zhi Jwen, 15, berkata walaupun dia banyak pengalaman dalam sukan luncur ais, saingan dalam kejohanan itu baru-baru ini lebih sukar.


Ryan yang pernah mendominasi sukan ini dan meraih pingat emas sejak kejohanan pertama berlangsung hingga siri keempat tahun lalu berkata, kemunculan muka baru yang berbakat dalam kejohanan terbabit menunjukkan sukan ini semakin mendapat tempat di kalangan remaja.


"Secara jujurnya, selepas sembilan tahun bergiat aktif dalam sukan ini saya dapati perkembangannya semakin memberangsangkan dan mendapat sambutan menggalakkan.


"Ia petanda baik, lebih-lebih lagi jika kita hendak meletakkan negara dalam peta sukan luncur ais di peringkat antarabangsa. Pada saya, KLAK mampu menjadi peneraju ke arah itu," katanya.


Ryan berkata, selain teruja menyertai kejohanan kali ini, dia bangga dengan peningkatan kejohanan berkenaan, terutama daripada segi penghakiman dan sistem juri yang lebih terkini.


"Ia penting sebagai kayu ukur dan menguji kemampuan sebenar peluncur tempatan," katanya yang pernah terbabit dengan Program Impian Korea membabitkan pembelajaran sukan luncur ais bersama Syaza di bawah tajaan ISAM.


Menyentuh lanjut mengenai KLAK, di akhir kejohanan, pemenang bagi setiap kategori rata-rata dikuasai muka baru dan remaja berbakat dalam sukan terbabit, antaranya Bryan Christopher Tan, 13, (kategori Novis Lelaki); Raya M Willoughby, 14, (kategori Junior Wanita) dan Chan Zheng Feng, 14, (kategori Junior Lelaki).

>Info
> Kejohanan Luncur Ais Kebangsaan (KLAK) 2010 yang bermula sejak 2006 adalah pentas menguji bakat dan kemahiran penggiat luncur ais tempatan
> KLAK dianjurkan Persatuan Meluncur Ais Malaysia (ISAM) dan pengerusinya ialah Datin Laila Abdullah
> ISAM secara rasmi dilancarkan pada 18 April 2004 dan satu-satunya pertubuhan yang bertanggungjawab dalam pembangunan sukan luncur ais negara
> Maklumat lanjut mengenai ISAM dan aktiviti berkaitan sukan luncur ais, layari laman web www.isam.my

  • KATEGORI PERMAINAN LUNCUR AIS
    > Perseorangan
    > Berpasangan
    > Tarian
    > Berirama

  • ANTARA GERAKAN DALAM LUNCUR AIS
    > Lompatan - toe loops, flips, lutzes, salchows, axels, walley, waltz
    > Pegangan - armpit, waist, hand to hip
    > Langkah dan pusingan - bracket, rockers, mohawks, choctaws, twizzles, hydroblading

    >Profil
    NAMA: Syaza Nazihah Suimi
    UMUR: 14 tahun
    AKTIVITI: Luncur ais
    KATEGORI: Pra Sekolah Menengah Wanita
    SEKOLAH: SMK (P) Sri Aman Petaling Jaya
    PENCAPAIAN: Pingat emas dan perak dalam Kejohanan Luncur Ais Singapura dan turut menguasai beberapa kejohanan tempatan peringkat kebangsaan

    NAMA: Ryan Yee Zhi Jwen
    UMUR: 15 tahun
    AKTIVITI: Luncur ais
    KATEGORI: Novis Junior Lelaki
    SEKOLAH: Sekolah Menengah Sri Kuala Lumpur Subang Jaya
    PENCAPAIAN: Empat kali menjuarai Kejohanan Luncur Ais Kebangsaan sehingga 2009

  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: