Thursday, April 22, 2010

KWSP mahu pertingkat pelaburan luar negara

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan meningkatkan pelaburannya di luar negara bagi mempelbagaikan portfolio pelaburannya dalam usaha mengoptimumkan pulangan dan menambah baik profil risiko pelaburannya.Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman, berkata langkah itu adalah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahukan KWSP menerokai peluang pelaburan luar negara yang lebih meluas, khususnya dalam pelaburan ekuiti. “Dengan pertambahan saiz dana KWSP serta kekangan dalam pasaran domestik serta toleransi risiko kami, ia bukan sesuatu yang mudah untuk mengekalkan kadar dividen semasa pada hadapan.

“Justeru, mempelbagaikan pelaburan ke luar negara adalah langkah terbaik bagi memenuhi keperluan KWSP walaupun ada cabaran yang perlu dihadapi,” katanya ketika berucap merasmikan Anugerah Pengurus Portfolio Luaran 2009, di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Ketua Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol.

Samsudin berkata, setakat ini Kementerian Kewangan memberi kelulusan kepada KWSP untuk melabur kira-kira AS$10 bilion (RM32.25 bilion) dalam pasaran saham di luar negara, yang mana daripada jumlah itu kira-kira AS$6 bilion (RM19.35 bilion) sudah dilaburkan.
Beliau berkata, 2010 ini juga akan menyaksikan penyempurnaan pelaburan KWSP menerusi program Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) bernilai AS$2 bilion (RM6.45 bilion) bagi dilaburkan dalam pasaran saham luar negara dan sukuk global.

“Mandat baru ini adalah selaras dengan strategi kepelbagaian KWSP dan dijangka menyumbang kepada pembangunan industri serta peserta industri yang menunjukkan komitmen, sumber dan keupayaan menguruskan pelbagai jenis mandat pelaburan,” katanya.

Samsudin dalam ucapannya turut mengumumkan, KWSP tahun ini akan menyalurkan AS$690 juta (RM2.23 bilion) kepada sembilan pengurus dana bagi menguruskan pelaburannya dalam ekuiti Islam global dan AS$600 juta (RM1.94 bilion) kepada empat pengurus dana bagi pelaburan dalam sukuk global.

Sementara itu, pada majlis Anugerah Pengurus Portfolio Luaran 2009 itu, lima kategori anugerah disampaikan kepada pengurus portfolio luaran cemerlang, dengan tiga daripadanya adalah bagi kategori ‘Ekuiti’, manakala dua lagi bagi kategori ‘Pendapatan Tetap’.

HwangDBS Investment Management Bhd, dinamakan pemenang bagi kategori anugerah ‘Pengurus Portfolio Ekuiti Keseluruhan Terbaik’, yang dinilai berdasarkan prestasi kewangan untuk tempoh tiga tahun berturut-turut dan kualiti perkhidmatan.

Nomura Asset Management Malaysia Sdn Bhd dan CIMB-Principal Asset Management Bhd pula masing-masing dipilih pemenang tempat kedua dan ketiga.

HwangDBS Investment Management turut memenangi anugerah ‘Pengurus Ekuiti Pulangan Nyata Tiga Tahun Terbaik’ manakala anugerah ‘Pengurus Portfolio Ekuiti Pulangan Risiko Terbaik’ iaitu anugerah diberi berdasarkan prestasi tiga tahun jumlah dana keseluruhan yang diukur melalui Nisbah Maklumat (Information Ratio), dimenangi Nomura Asset Management Malaysia.

Bagi kategori ‘Pendapatan Tetap’, AmInvestment Management Sdn Bhd dianugerahkan sebagai ‘Pengurus Portfolio Pendapatan Tetap Keseluruhan Terbaik’ dan ‘Pengurus Pendapatan Tetap Pulangan Nyata Tiga Tahun Terbaik’.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: