Thursday, April 22, 2010
Ella mahu terus jadi
Hampir dua dekat, Ratu Rock Malaysia, Nor Zila Aminuddin atau lebih terkenal dengan panggilan Ella berkecimpung dalam industri seni tanah air. Malah, sehingga kini masih berjaya mengekalkan populariti sebagai ‘Ratu Rock’ meskipun akhir-akhir ini dia agak menyepi.
Bagaimanapun, penyanyi yang popular dengan lagu Simbiosis, Rama-Rama dan Standing In The Eyes Of The World itu tidak menganggap kekurangan publisiti menjadikan populariti dirinya kian suram dan dilupakan.
“Ella bukan menyepi, cuma kini sedang sibuk menguruskan pelbagai urusan. Tambahan pula, sekarang Ella baru sihat dan mula menumpukan perhatian kepada penghasilan album baru,” katanya selepas menghadiri sidang media bersama MISB Resources Sdn Bhd bagi pelancaran Konsert Jelajah 2 Zaman Ella dan Faizal Tahir yang akan berlangsung bulan hadapan.
Bercerita mengenai perkembangan seninya, Ella dan pihak pengurusannya kini sedang dalam proses menyiapkan album terbarunya yang kini lebih 50 peratus siap selain membuat persediaan mengadakan konsert di seluruh negara seperti di Istana Budaya pada 1 hingga 2 Julai hadapan.
“Album terbaru ini membawakan konsep yang berbeza berbanding yang sebelumnya dan selagi mana termampu, Ella tidak akan jemu untuk terus berusaha menghasilkan sesuatu yang disukai dan mendapat tempat di hati peminat.
“Bagi Ella, dalam sesebuah persembahan itu, penyanyi harus peka dan memahami mood penonton yang hadir dengan mewujudkan satu hubungan ketika mengadakan persembahan. Apabila hubungan dengan peminat itu telah wujud, maka akan lebih mudah untuk memahami apa yang peminat rasakan dan inginkan,” katanya.
Ella yang memulakan karier sekitar tahun 1983 ini bagaimanapun tidak menafikan sehingga hari ini dia masih belum dapat melihat seseorang yang boleh menggantikan tempatnya sebagai rocker.
Bukan mahu mendabik dada atas apa yang telah dikecapi, tetapi inilah realiti yang dirasakannya terhadap industri muzik tanah air pada hari ini.
“Sememangnya bukan mudah untuk menghasilkan lagu-lagu yang boleh mencapai ke satu tahap di mana ia akan terus berkumandang sepanjang zaman. Ini adalah sesuatu yang jarang-jarang dapat dilaksanakan oleh seseorang yang berada dalam industri ini.
“Muzik adalah satu benda yang tidak boleh dipupuk, tetapi ia adalah sesuatu yang hadir dalam diri seseorang secara semula jadi,” katanya.
Ditanya sampai bilakah beliau mahu terus menjadi seorang rocker, Ella memberitahu selagi mana sokongan dan semangat dapat diraih daripada peminat, selagi itulah dia akan terus bertapak di dalam industri ini.
“Sepanjang Ella berada dalam industri ini, memang pelbagai rasa telah Ella lalui, pahit, manis, kelat dan semuanya. Namun, atas dasar minat Ella sendiri, Ella masih teguh berdiri di persada seni ini.
“Sokongan dan dorongan dari peminatlah yang menentukan jatuh bangunnya seseorang artis itu. Jadi, bagi Ella, Ella akan terus berada di sini selagi ada peminat yang sukakan Ella dan menerima muzik yang dibawa,” katanya sambil tersenyum.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: