SEHIRIS Peria Secawan Madu. Begitu indah tetapi penuh maksud tersirat judul program baru yang bakal disiarkan di Astro Oasis itu. Program 13 episod yang telah mula disiarkan pada 6 April lalu, mengupas kemanisan di sebalik kesengsaraan golongan kehidupan masyarakat yang tidak sempurna di negara ini.
Lebih menarik, ia memfokuskan perkongsian masalah dan kepahitan orang lain dan kemudiannya cuba membongkar kemanisan serta kebaikan yang terkandung di sebaliknya.
Menggunakan konsep majalah dan bual bicara Islam, program 30 minit itu dihoskan oleh Ustazah Asni Mansor, menampilkan pengakuan dan temu bual eksklusif bersama mangsa, insan malang dan tokoh-tokoh tertentu.
Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, sebagai pelapor saluran gaya hidup Islam, pihaknya ingin menunaikan tanggung-jawab untuk menyampaikan program-program yang dapat mendidik para penonton dari sudut kerohanian dan pengetahuan ilmiah.
Menurutnya, program ini juga dapat menerbitkan rasa sabar, insaf, keimanan, dan kegembiraan khususnya di kalangan mereka yang kurang bernasib baik dan sedang ditimpa musibah.
"Sehiris Peria Secawan Madu juga diihat begitu istimewa apabila cuba untuk berkongsi masalah dan kepahitan orang lain dengan membongkar kemanisan yang terkandung disebaliknya sebagai ujian Allah.
"Hebatnya juga apabila program ini cuba untuk mencari bukti daripada ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis sahih," katanya pada majlis Pelancaran program terbitan Karyawan Bestari Sdn. Bhd di Restoran Rebung, Bangsar baru-baru ini.
Sementara pengarah merangkap penerbit Sehiris Peria Secawan Madu, Abdullah Abdul Hamid menegaskan, kepahitan yang cuba dipaparkan menerusi segmen pengakuan dan laporan khas mampu meningkatkan tahap keimanan seseorang kepada-Nya.
Tambah Abdullah, program ini dapat membelai dan mendidik jiwa insan muslim agar berfikir, bermunajat, berusaha dan bertawakal dalam setiap tindak tanduk serta cabaran yang ditempuhi.
"Antara topik yang bakal dikupas adalah Membelai Sakti, Tersesat ke Penjara, Derita Bahagia OKU, Kejam, Padah Ibu Muda.
"Topik lain termasuklah Pulang Ke Pangkal Jalan, Gelap Ada Cahaya, Nur Illahi, Pelabuhan Terakhir, Sepi Sendirian dan Menumpang Kasih," katanya.
Jelasnya lagi, penggambaran dan rakaman program ini telah diadakan di beberapa lokasi terpilih di beberapa buah negeri antaranya di Sekolah Henry Gurney, Melaka, Penjara Pengkalan Chepa dan Kem Modal Insan Pusat Kebahagiaan Wanita Remaja (Kewaja).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: