![]() |
| NOORIZAH ABDUL HAMID Pengarah Urusan PLUS Expressways Bhd. (PLUS) |
SUBANG 4 April – ‘‘Kenapa hanya PLUS yang mahu diambil alih dan bukannya syarikat konsesi tol lain yang kini nazak.’’ Itulah persoalan yang dilontarkan oleh orang kuat PLUS Expressways Bhd. (PLUS) ketika mengulas cadangan syarikat lain mahu menguasai pengendali lebuh raya terpanjang di Malaysia.
Pengarah Urusannya, Noorizah Abdul Hamid berkata: ‘‘Benarkah PLUS diambil alih untuk meringankan beban kos kerajaan dan rakyat yang terpaksa menanggung kenaikan kadar tol kerana tujuan mana-mana syarikat ditubuhkan adalah mengaut untung.’’
Noorizah berkata, jika syarikat yang mahu mengambil alih PLUS benar-benar jujur mahu membantu rakyat dan kerajaan, mereka sepatutnya mengambil alih konsesi tol lain.
‘‘Mereka sepatutnya pulihkan balik konsesi-konsesi itu, mereka hanya nampak PLUS yang telah kukuh kerana mereka percaya PLUS boleh memberikan pulangan kepada mereka,’’ kata beliau kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sebuah syarikat khas, Asas Serba Sdn. Bhd. (Asas Serba) berminat untuk membeli PLUS.
Asas Serba diwakili oleh Pengerusi Dewan Perdagangan Melayu Kuala Lumpur, Datuk Syed Amin Aljeffri, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pinelabs (M) Sdn. Bhd., Ibrahim Bidin, bekas Ketua Pegawai Operasi Plus, Wan Kamaruddin Wan Mohamed Ali dan Pegawai Eksekutif Sepang Aircraft Engineering Sdn. Bhd., Syed Budriz Putra.
Tambah Noorizah, pihaknya tidak melihat sebarang alasan yang logik bagi sesebuah syarikat mahu memiliki syarikat lain tetapi tidak mahukan keuntungan.
‘‘Cabaran untuk mengendalikan PLUS sangat besar kerana kami beroperasi 24 jam dan kami perlu sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.
‘‘Kami tidak tahu bagaimana model perniagaan mereka yang didakwa mampu menurunkan kadar tol dan sebagainya. Tidak mustahil, mereka terpaksa mengorbankan beberapa perkara untuk mencapai hasrat tersebut.
‘‘Kita tidak mahu sehingga suatu masa, sekiranya syarikat itu gagal, kerajaan terpaksa mengambil semula PLUS dan menanggung semua kerugian yang berlaku,’’ jelasnya.
PLUS dimiliki oleh kerajaan melalui sayap pelaburannya, Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) sebanyak 24 peratus dan 40 peratus lagi oleh syarikat milik Khazanah, Kumpulan UEM Bhd.
Baki 22 peratus kepentingannya dipegang oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Bhd., sekali gus menyaksikan penguasaan kerajaan lebih 80 peratus.
Khazanah sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan tidak akan melepaskan pegangan mereka di dalam PLUS kerana syarikat itu adalah kompetitif dan diuruskan dengan baik.
Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, PLUS merupakan aset utama Khazanah dan mereka tidak berhasrat untuk menjualnya.
Khazanah masih lagi menunggu keputusan kerajaan. Sebagai pemegang saham terbesar PLUS, mereka akan memastikan syarikat itu beroperasi dengan efisien.
Noorizah menambah, pemegang-pemegang saham PLUS juga bergantung kepada mereka untuk mendapatkan keuntungan bagi membayar dividen kepada pemegang saham.
‘‘Boleh dikatakan setiap rakyat Malaysia mempunyai kepentingan di dalam PLUS kerana pemegang-pemegang saham kami seperti KWSP dan sebagainya mempunyai hubungan dengan rakyat,’’ katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu kenaikan kadar tol, Noorizah berkata, kali terakhir bagi PLUS menaikkan kadar tol adalah pada tahun 2005.
‘‘Mengikut perjanjian konsesi, kadar tol sepatutnya dinaikkan 10 peratus pada setiap tiga tahun. Kenaikan seterusnya sepatutnya pada 2008 tetapi tidak dinaikkan dan seterusnya adalah pada tahun ini tetapi masih tidak mendapat kelulusan kerajaan.
‘‘Mengikut perjanjian konsesi, sekiranya kerajaan tidak meluluskan kenaikan kadar tol, kerajaan perlu membayar ganti rugi,’’ katanya.
Sebelum ini terdapat juga cadangan yang meminta kerajaan menaikkan kadar tol kerana dengan cara itu, hanya pengguna lebuh raya yang akan menanggung kadar tersebut.
Sebaliknya, sekiranya kerajaan tidak meluluskan kenaikan kadar tol, kerajaan terpaksa menggunakan duit rakyat untuk membayar ganti rugi dan ini akan melibatkan duit mereka yang tidak menggunakan lebuh raya, katanya.
Noorizah berkata, kerajaan boleh menggunakan duit ganti rugi itu untuk disalurkan kepada perkara-perkara lain yang lebih menguntungkan rakyat secara keseluruhan.
Setakat ini, Malaysia merupakan antara negara yang mengenakan kadar tol terendah di rantau ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: