
DENGAN kepesatan sistem pengangkutan terutama perkhidmatan penerbangan, sesiapa sahaja kini boleh bercuti ke luar negara. Pengenalan tambang murah oleh beberapa syarikat penerbangan dan ditambah pula dengan pelbagai pakej menarik oleh agensi pelancongan, sebarang agenda berlibur ke pelbagai lokasi baik di Asia Tenggara mahupun Eropah sedah menjadi semakin mudah.
Apa yang pasti, hari ini golongan remaja juga mendapat manfaat daripada situasi itu apabila dengan bekalan wang kira-kira RM500, mereka sudah boleh menjejakkan kaki ke kota pelancongan seperti Bali, Hanoi atau Bangkok. Jika, mereka mengaturkan segala rencana perjalanan sendiri atau backpacking, sudah tentu ia lebih menjimatkan.
Soyan Lee, 21, antara gadis yang tidak ketinggalan menjadikan pelancongan sebagai hobi mengisi masa senggang dan aktiviti menenangkan minda.
Gemarkan aktiviti mencabar, Soyan lebih suka melancong ke merata pelosok dunia dengan mengatur sendiri jadual kembaranya. Bagi gadis itu, ia memberikannya lebih kepuasan kerana tiada kekangan masa dan bebas untuk menikmati aktiviti atau pemandangan indah di sesuatu tempat.
"Bora-Bora di Bahamas, Maldives dan Pulau Perhentian antara lokasi yang amat menarik dan meninggalkan kenangan manis buat saya," katanya ketika bercerita mengenai lokasi percutian kegemarannya baru-baru ini.
![]() |
| SOYAN berpendapat remaja boleh mendapat banyak pengalaman melalui aktiviti percutian. |
Bersama GenK, Soyan gembira berkongsi minat dan pengalamannya.
GenK: Mengapakah hobi ini menjadi pilihan anda untuk mengisi masa lapang?
SOYAN: Bagi saya, adalah satu kepuasan apabila dapat mengunjungi tempat-tempat menarik di seluruh dunia. Saya juga dapat menambah senarai lokasi pelancongan yang pernah saya lawati. Pada masa yang sama, sudah tentu aktiviti ini boleh merehatkan minda dan menenangkan jiwa selain membuka peluang kepada saya mengenali budaya masyarakat yang berbeza.
Selain pelbagai lokasi domestik, antara negara yang pernah menjadi destinasi percutian saya termasuklah Thailand, Vietnam, Australia, New Zealand dan Taiwan.
Setiap individu mempunyai lokasi pilihan pelancongan sendiri. Bagaimana dengan anda?
Sudah tentu, tetapi bagi saya pantai dan laut adalah pilihan kegemaran saya. Pulau-pulau seperti Bora-Bora di Bahamas, Maldives dan Pulau Perhentian antara lokasi yang amat menarik dan menggamit perhatian saya.
Kebiasaannya, hobi sebegini melibatkan perbelanjaan kewangan yang besar. Apa komen anda?
Kenyataan itu tidak dapat dinafikan. Namun bagi saya, ia bergantung kepada tempat pelancongan yang ingin dikunjungi. Kita harus melihat pada sumber kewangan yang dimiliki. Di Malaysia sendiri terdapat banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi. Ia boleh membantu sektor pelancongan kita. Walau bagaimanapun, sekiranya mempunyai peluang dan kemampuan, tidak salah melancong ke luar negara.
![]() |
| MERAKAM keunikan formasi dan tekstur bongkah-bongkah batu di Bora-Bora, Bahamas. |
Memandangkan seseorang akan membelanjakan simpanan mereka untuk melancong, pada pandangan anda apakah kriteria penting dalam pemilihan agensi pelancongan?
Bagi mengelakkan kita tertipu, sebaik-baiknya siasat terlebih dahulu sesuatu agensi yang ingin kita rujuk perkhidmatannya. Ini termasuklah lesen perniagaan, proses pembayaran, syarat-syarat tambahan yang dikenakan. Malah, masyarakat harus membuat kajian terhadap perbandingan harga pakej yang ditawarkan. Jika tidak silap, setiap promosi yang diiklankan akan mempunyai nombor rujukan kelulusan daripada Kementerian Pelancongan Malaysia.
Apakah pandangan anda mengenai agensi pelancongan yang lebih mementingkan keuntungan berbanding tahap perkhidmatan yang disediakan?
Situasi ini tidak sepatutnya terjadi kerana ia hanya menjatuhkan imej pelancongan sesebuah negara. Setiap agensi pelancongan haruslah lebih mementingkan perkhidmatan yang mampu memberikan kepuasan kepada setiap pelanggannya.
Pada pemerhatian anda, apakah perbezaan ciri pelancong Malaysia dan luar negara dalam mengikuti sesuatu pakej pelancongan?
Bagi saya pelancong-pelancong terutama dari negara Barat menepati masa kerana gaya hidup mereka yang terbiasa dalam mengejar masa. Ia berbeza dengan pelancong Malaysia yang selalu beranggapan mereka sentiasa mempunyai masa dalam apa jua keadaan.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: