Sunday, April 11, 2010

Kehidupan baru pesakit Parkinson muda


S.PANDIRAJAN bersama keluarganya berasa gembira kerana mempunyai harapan pulih daripada Parkinson selepas menjalani pembedahan Rangsangan Otak Dalaman (DBS).


BAGI Pandirajan Subramaniam, 45 tahun, hidup dengan penyakit Parkinson (PD) sejak berusia 32 tahun telah menyekat kebebasannya, keupayaannya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami dan keseronokannya untuk membesarkan dua orang anak seperti bapa muda yang lain.

Dia merasa ada sesuatu yang tidak kena pada tahun 1998 apabila dia mula mengalami keadaan terketar-ketar dan ketegangan di sebelah kanan badannya. Dua tahun kemudian, telah didiagnos menghidap PD.

Hancur luruh perasaannya apabila diberitahu bahawa dia menghidap penyakit yang tidak boleh diubati yang hanya akan menjadi bertambah teruk. Dia amat terharu dan sebak memandangkan PD biasanya dialami oleh orang tua. Pada ketika itu, dia hanya boleh memikirkan bagaimana dia boleh menyara hidup isteri dan anak-anaknya.

Pada mulanya dia tidak percaya, dan telah menemui ramai doktor serta berjumpa ramai pengamal perubatan tradisional bagi mengubati penyakitnya. Ia benar-benar mengecewakan. Dia masih tidak sembuh walaupun telah menjalani banyak rawatan oleh bomoh. Akhirnya, dia terpaksa menerima hakikat penyakit ini dan pergi mendapatkan rawatan sempurna untuk para pesakit PD.

Walaupun keadaan fizikalnya bertambah lemah, Pandirajan terus bertugas sebagai seorang pekerja penyelenggaraan di kilang penapisan minyak sawit di Johor. Tugasnya amat mencabar dan memerlukannya melaksanakan kerja-kerja pengimpalan, mengangkat dan memindahkan jentera berat. Selepas itu, dia kerap jatuh di tempat kerja dan pertuturannya mula tidak jelas dan menjadikannya sukar untuk berkomunikasi dengan para pekerja lain.

Apabila dia berjalan, ia menjadi semakin laju. Ini menyebabkannya jatuh tersungkur. Ada kalanya, kakinya tiba-tiba menjadi amat berat dan kejang. Pengurusnya bimbang akan keselamatannya dan menasihatkannya supaya berhenti pada tahun 2008. Akhirnya, dia terpaksa berhenti secara medical boarded out dan terpaksa bergantung kepada isterinya yang bekerja sebagai tukang jahit dengan pendapatan RM 700 hingga RM 800 sebulan. Dia berasa bersalah dan amat sedih kerana tidak dapat menyara hidup isteri dan keluarganya.

Walau bagaimanapun, masih terdapat harapan apabila Pandirajan telah dipilih sebagai penerima pertama Lloyd Tan Parkinson's Trust Fund yang menawarkan bantuan kewangan kepada para pesakit PD yang layak daripada kumpulan berpendapatan rendah untuk menjalani pembedahan Rangsangan Otak Dalaman (DBS).

Dia dijadualkan menjalani pembedahan DBS bagi melegakan simptom PD seperti terketar-ketar, ketegangan dan dyskinesia. Profesor terkemuka di dunia, Prof Tipu Aziz dari United Kingdom (UK) melakukan pembedahan pada 6 April lalu di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Prof. Tipu Aziz, pakar DBS yang berpangkalan di UK, akan berada di Malaysia dari empat hingga 14 April ini bagi menyedarkan orang ramai mengenai prosedur pembedahan DBS.

Pakar neurologi dan pengasas Lloyd Tan Parkinson's Trust Fund, Dr Chew Nee Kong berkata ramai tidak sedar bahawa PD bukan saja dialami oleh orang tua.

"Pesakit sebelum usia 40 tahun dikenali sebagai Penyakit Parkinson Pada Usia Muda (young-onset Parkinson's Disease, YOPD) dan kira-kira 5-10 peratus pesakit PD tergolong dalam kategori ini. Emosi para pesakit YOPD dikatakan lebih terganggu berbanding pesakit tua kerana mereka masih muda dan masih banyak lagi yang perlu dilakukan seperti bekerja, menyara nafkah keluarga dan mengalami kehidupan sosial.

"Para pesakit YOPD merupakan subset khas PD yang memerlukan pendekatan rawatan yang berbeza berbanding kumpulan orang tua. DBS amat disyorkan untuk para pesakit YOPD pada peringkat awal penyakit kerana pembedahan boleh meningkatkan kualiti hidup mereka, keseronokan hidup berkeluarga dan bergaul bersama rakan-rakan tanpa rasa malu kerana tidak berupaya mengawal pergerakan mereka. Namun, DBS memerlukan kos pembedahan yang besar," tambah Dr Chew.

PD adalah sejenis gangguan sistem saraf yang kronik dan progresif yang meningkatkan ketidakupayaan pesakit. Penyakit ini menyebabkan kehilangan upaya simptom motor akibat pengurangan dopamine, neurotransmitter yang menghantar mesej kepada bahagian-bahagian otak yang mengawal pergerakan para pesakit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: