
LOS ANGELES - Gempa bumi berukuran 7.2 pada skala Richter yang melanda sempadan Mexico-Amerika Syarikat (AS) telah menggegarkan bangunan-bangunan di bandar perfileman Los Angeles selain turut dirasai di San Diego, selatan California, Arizona dan Las Vegas tanpa sebarang kerosakan teruk dilaporkan.
Menurut pihak Agensi Kajian Geologi AS (USGS), gempa yang berlaku pada pukul 3.40 petang waktu tempatan pada kedalaman 32.1 kilometer itu berpusat di Guadalupe Victoria, Mexico dengan menyebabkan dua orang terbunuh.
Seorang mangsa terbunuh apabila rumahnya di Mexicali runtuh.
Seorang lagi penduduk menjadi panik dan berlari ke tengah-tengah jalan sebelum dia dilanggar oleh sebuah kereta.
Walaupun dianggap antara gegaran paling kuat di rantau tersebut selama berdekad-dekad, warga California masih boleh menarik nafas lega kerana tidak banyak kemusnahan yang berlaku.
Namun, kira-kira 100 orang dilaporkan cedera kerana terkena serpihan pelbagai barangan.
Kawasan sempadan tersebut telah dilanda gempa sekuat 3.0 pada skala Richter minggu lalu.
Di Pheonix, Arizona, seorang penduduk, Jacqueline Land memberitahu katil di tingkat dua pangsapuri terasa seperti kapal yang bergoyang perlahan di lautan.
"Saya berkata pada diri sendiri, mustahil ia adalah gempa bumi. Saya berada di Arizona," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: