Thursday, April 22, 2010

Bront Sangkal Dirinya Seksi Dalam 'Belukar'

Bront tidak fikir dirinya seksi dalam Belukar.

AKSI terbaru aktor berbakat Bront Palarae dalam filem Belukar mungkin boleh mengundang pelbagai reaksi daripada penonton. Dia yang pertama kali menjadi hero filem, menjayakan watak Nick, seorang penyiasat insuran, yang seksi menerusi aspek lakonan dan bahasa tubuh yang bersahaja.

Bukan sahaja lakonan bersahajanya itu mampu memukau penonton, malah anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini juga tampil tidak berbaju dalam beberapa babak.

Justeru, usai sesi pratonton filem arahan Jason Chong itu baru-baru ini, pelakon berusia 31 tahun ini diusik dengan pertanyaan adakah dia berasa dirinya seksi dengan lakonan bersahaja dan tampil tidak berbaju dalam beberapa babak Belukar.

Mempamerkan reaksi terpinga-pinga disusuli hilai-tawa apabila diaju soalan itu, Bront menjawab dengan selamba, dia tidak terfikir dirinya seksi kerana tampil tidak berbaju dalam beberapa babak.

"Seksi? Saya tidak terfikir pula saya kelihatan seksi berlakon dalam Belukar. Saya hanya memberikan lakonan seperti kehendak skrip dan pengarah.

"Mungkin seksi itu daripada aspek lakonan, tapi bukanlah kerana babak-babak saya tidak berbaju dan bertuala itu.

"Lagipun bukannya bentuk badan saya sasa dan tegap pun, jadi tidak mungkinlah aspek itu dilihat sebagai seksi pula. Saya tidak pastilah jika ada juga pihak yang anggap saya seksi juga," katanya.

Sebaliknya, pelakon yang pernah membintangi filem Anak Halal ini menyifatkan aksi tidak berbaju dan bertuala dalam beberapa babak filem bergenre aksi drama itu hanya sebagai tuntutan skrip yang perlu dilunaskan.

"Bagi saya, apa sahaja watak yang diberikan, saya akan cuba sedaya upaya untuk berikan lakonan yang terbaik.

"Saya selalu berpegang pada prinsip bahawa kita perlu bersikap sejujur mungkin dengan watak yang diberikan, tidak kiralah dalam bentuk apa sekalipun sama ada watak besar atau kecil," ujarnya sambil ketawa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: