Thursday, April 22, 2010

Akur permintaan peminat


PADA persembahannya itu juga, Anuar mengambil kesempatan untuk berduet dengan salah seorang penyanyi latarnya, Eja sewaktu menyampaikan lagu Kini Bebas.


SETIAP kali penghibur ini membuat persembahan, ia dinanti-nantikan oleh para pemujanya. Mereka yang berdedai-dedai hadir menonton persembahannya pastinya mahu menikmati alunan indah lagu-lagunya yang menjadi pujaan mereka.

Satu yang pasti juga, semua persembahan yang dijayakan Anuar Zain tidak pernah gagal memuaskan hati pihak penganjur dan peminatnya yang tidak pernah jemu menonton aksinya di atas pentas.

Namun, baru-baru ini bersempena minggu setiausaha di Hotel JW Marriott, Anuar hadir dengan nuansa yang jauh berbeza dengan apa yang pernah dipersembahkan sebelum ini.

Betapa tidak, sebelum ini Anuar sering kali tampil dengan muzik pop dan R&B dalam setiap persembahannya.

Tetapi kali ini, penyanyi berusia 40 tahun itu mencuba sesuatu yang baru apabila mempertaruhkan muzik jazz dan swing dalam menghiburkan penontonnya.

Memang jarang benar untuk melihat Anuar tampil dengan muzik sedemikian tetapi, untuk persembahan minggu setiausaha, barangkali genre muzik sedemikian untuk Anuar dilihat kurang bersesuaian.

Bukan sekadar muziknya sahaja, tetapi pemilihan lagu juga kebanyakannya tidak menangkap telinga kerana Anuar lebih selesa menyanyikan lagu penyanyi lain berbanding lagu-lagunya sendiri.

Antaranya, pemuja Datuk Sheila Majid ini memilih lagu Sheila, Selamanya yang kurang popular dan kedengaran agak asing pada pendengaran mereka yang bukan peminat Sheila.

Sedangkan, rangkaian lagu-lagu popular Sheila terlalu banyak yang boleh dipilih Anuar untuk disampaikan dalam persembahannya.

Mungkin lagu itu ada nilai sentimental tersendiri buat Anuar dan dia mahu berkongsi dengan peminatnya pada petang itu.

Sementara lagu-lagu popularnya yang disampaikan hanyalah Bila Resah, Lelaki Ini, Ketulusan Hati dan Kini Bebas yang dinyanyikannya secara duet bersama salah seorang penyanyi latarnya, Eja (penyanyi asal ialah Camelia).

Anuar juga sempat mempromosikan dua lagu terbarunya, Ajari Aku dan Terindah yang dimuatkan dalam album keempatnya yang akan dipasarkan pada bulan September ini.

Ada benarnya andai mahu bergelar seorang penyanyi yang versatil, seseorang penyanyi itu harus berani melakukan perubahan.

Tetapi, untuk Anuar, seleksi lagu-lagunya tempoh hari tidak begitu mesra telinga dan rasanya bukan semua hadirin yang hadir petang itu tahu akan lagu-lagu yang disampaikannya.

Apatah lagi membuat persembahan pada waktu tengah hari yang menjangkau ke petang, seharusnya Anuar mengambil peluang itu untuk terus membina momentum dari awal hingga akhir.

Tidak seperti atmosfera lazim yang dapat dilihat dalam setiap persembahannya apabila peminatnya tidak pernah gagal menyanyi bersama-samanya dalam setiap lagu yang disampaikan.

Harapan audiens petang itu mungkin terlalu tinggi apabila mengharapkan Anuar menyampaikan lagu-lagu popularnya yang sering menjadi tunjang kekuatan setiap persembahannya.

Tetapi, kekecewaan itu barangkali terubat apabila Anuar masih lagi cemerlang dari aspek lontaran vokalnya menerusi setiap lagu yang disampaikannya.

Walaupun lagu yang dibawakannya jarang pada pendengaran audiens, Anuar berjaya membawakan setiap lagu dengan gaya tersendiri yang sekali gus membuktikan kredibilitinya sebagai seorang penghibur yang disegani.

Berbicara dengan Anuar tentang senario itu, ternyata dia sedar akan apa yang berlaku dan sebagai penghibur, dia mahu bereksperimen dengan pendekatan yang baru dalam menghiburkan peminatnya.

Di sebalik kekurangan kata Anuar, dia juga menerima respons positif daripada sesetengah peminatnya yang menyukai perubahan yang dilakukannya.

Begitu juga dengan aspek pemilihan lagu apabila Anuar menjelaskan dia mahu berkongsi dengan peminat lagu-lagu yang menjadi kegemarannya.

Ternyata, daripada pemerhatian yang dilakukannya sepanjang dua hari persembahan Anuar Zain di hotel lima bintang di ibu negara baru-baru ini mendapati peminat-peminat masih mendambakan lagu-lagu popularnya.

"Selama tujuh tahun saya membuat persembahan untuk minggu setiausaha. Kadang-kala saya risau peminat akan berasa jelak seandainya saya membawakan lagu-lagu yang sama sahaja.

"Tetapi, daripada apa yang saya nampak, mereka masih lagi mahukan saya menyanyikan lagu-lagu saya sendiri dan ia diucapkan sendiri oleh mereka.

"Saya akur dengan permintaan peminat dengan menyampaikan lagu-lagu saya sendiri dalam mana-mana persembahan saya selepas ini.

"Saya menganggap ini sebagai satu penghormatan dan penghargaan apabila mereka tidak pernah berasa bosan dengan lagu-lagu saya," kata pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain ini merendah diri.

Tidak menganggap persembahan minggu setiausahanya tahun ini sebagai satu kegagalan, sebaliknya pelantun lagu Perpisahan dan Keabadian Cinta ini melihat semuanya dari sudut yang positif.

Dengan mempertaruhkan muzik yang tidak pernah dibawakannya sebelum ini, Anuar menganggap persembahan itu antara yang terbaik pernah dijayakannya.

"Saya pilih lagu-lagu tersebut untuk persembahan minggu setiausaha kali ini kerana saya sendiri jarang menyampaikannya.

"Pada masa yang sama, saya tidak boleh berkata yang saya berpuas hati sepenuhnya kerana sebagai seorang penghibur, masih lagi ada ruang dan kelemahan untuk diperbaiki," kata Anuar penuh optimis.

Bekas pramugara Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) ini sempat ditanya mengenai perkembangan terkini pembikinan album terbarunya.

Maklumlah, selepas memperdengarkan secara eksklusif dua buah lagu terbarunya dalam persembahan tempoh hari, pastinya ada cerita terbaru yang boleh Anuar kongsi bersama.

Anuar menjelaskan, buat masa ini hanya sebuah lagu sahaja iaitu Terindah yang sudah disiapkan susunan muziknya yang ternyata menggembirakan hati jejaka idaman Malaya ini.

"Saya puas hati dengan penghasilannya dan ia memberi sentuhan muzik yang baru untuk album ini.

"Mengenai jumlah lagu pula, semuanya bergantung kepada keadaan dan buat masa ini, kami masih kekal dengan lapan buah lagu.

"Kemungkinan besar, album ini akan memuatkan sebuah lagu bonus ciptaan komposer tempatan yang bakal menjadi lagu tema sebuah filem.

"Saya tidak mahu menjelaskan lebih lanjut lagi kerana semuanya masih lagi di peringkat perbincangan. Insya-Allah, kalau semuanya berjalan lancar, pengumuman akan dibuat nanti," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: