Monday, April 19, 2010

Berani berimej janggal

Tidak peduli pada reaksi kerutan dahi atau kening yang terangkat apabila seseorang melihat penampilannya, Iz Sulaini tetap selesa menggayakan rekaan unik, misteri dan pelik.




"MAMA pernah beri dua pilihan sama ada ingin membeli satu atau dua helai seluar sekolah. Jadi saya memilih sehelai saja kerana sehelai lagi saya tempah. Sebabnya, seluar yang dibeli di kedai potongannya terlalu formal sedangkan saya mahu menyelitkan elemen fesyen unik.

"Misalnya, pada bahagian bukaan poket saya sengaja meminta tukang jahit membuat rekaan yang besar dan sedikit melengkung. Pada bahagian kaki pula saya tiru rekaan seluar jean potongan tirus. Barulah ada gaya apabila ke sekolah," ketawa Iz saat mengimbas kembali kegilaan mengubahsuai uniform sekolah.

Namun jelas Iz, 27, proses pengubahsuaian seluar itu seboleh-bolehnya tidak melampaui etika berpakaian yang ditetapkan oleh pihak sekolah.

Baginya, disiplin dan personaliti seorang pelajar perlu dijaga agar tidak menjejaskan rekod peribadinya.

Pemilik nama sebenar Khairullah Ezuan Sulaini itu mula dikenali menerusi program realiti One In A Million (OIAM) musim kedua. Meskipun gagal meraih kedudukan teratas dalam program berkenaan, nama Iz diingati kerana kata-kata sinisnya kepada juri program, Paul Moss.


AKSI istimewa Iz dalam persalinan baju sendat hitam, seluar ala harem Adidas dan kasut merah daripada jenama yang sama. Cermin mata hitam ala Lady Gaga menjadi pelengkap.


Tatkala Paul Moss cuba menegur imejnya yang digayakan kurang sesuai, Iz dengan spontan membidas: "It's Dior okay...(yang merujuk pada baju yang dipakainya itu berjenama Christian Dior dan bukannya jenama sebarangan).

"Jangan salah faham. Itu semua suntingan yang diolah pihak penerbit program untuk menghidupkan keseronokan menonton OIAM.

"Sebenarnya, saya bukan individu yang taksub atau terlalu mementingkan jenama. Kecenderungan fesyen saya lebih tertumpu pada rekaan unik, misteri dan pelik.

Walau bagaimanapun, Iz mengakui dia tidak ralat kalau terpaksa berhabisan ratusan ringgit untuk memiliki produk yang barangkali tidak mahu dimiliki oleh sesiapa.

"Berasa malu dengan penampilan pelik sebegini tidak pernah wujud dalam kamus fesyen saya. Sebaliknya, saya berasa bangga.

"Percaya atau tidak, sejak usia remaja sehingga kini, saya belum puas bereksperimen menggabungkan konsep unik dan pelik bagi menghasilkan gaya yang luar biasa tapi molek dipandang," luah pemilik Ijazah Sarjana Muda Silang Budaya dan Komunikasi, Universiti RMIT, Melbourne, Australia itu.


MENYUKAI kasut Adidas, tetapi hanya yang bercorak istimewa.


Nampaknya kesungguhan dan kreativiti Iz mencipta signatur penampilan tersendiri tidak sia-sia. Dek gayanya yang unik itu telah menarik perhatian produksi New Delhi, MetroBrava Films India yang berminat membawa Iz mencipta nama di luar negara. Tawaran itu termasuk memperkenalkan Iz di pentas pertunjukan fesyen Chennai Open Fashion dan Minggu Fesyen London.

Ungkap Iz, menjejakkan kaki ke karpet merah Chennai Open Fashion suatu pengalaman manis yang sukar diterjemahkan dalam kata-kata. Dia tidak menyangka, kehadirannya dalam pakaian sukan yang pelik mendapat perhatian lensa kamera pihak media di sana.

Lelaki dan gaya ekstra

Bercerita detik-detik manis saat menyaksikan pertunjukan Minggu Fesyen London di Somerset House, Iz yang popular dengan lagu Gonna Be Alright itu teruja melihat melihat fesyen golongan jejaka di kota London.

Berdasarkan pemerhatiannya, ternyata imej dan stail jejaka di Barat sama seperti yang dipaparkan dalam ruangan majalah fesyen antarabangsa.

Biarpun hanya ke pejabat mahupun bersantai, lelaki Barat dilihat tetap menitikberatkan soal penampilan dari hujung rambut hingga hujung kaki.


SUT biru kilat koleksi Ezuan Ismail ini Iz padankan dengan jean hitam sendat dan kasut Adidas kesayangannya.


"Sukar untuk melihat lelaki Inggeris berpakaian selekeh. Mungkin ia seiring dengan imej bandar raya mereka yang mendapat jolokan kota fesyen.

Walaupun segelintirnya memakai pakaian yang tidak berjenama, mereka berani mencipta stail tersendiri.

"Siapa kata koleksi fesyen lelaki adalah terhad? Maka, kesempatan berada di sana tidak disia-siakan begitu saja.

"Saya begitu teruja memborong pelbagai barangan pelik dan unik termasuklah kasut Adidas yang bertakhta manik-manik dan cermin mata hitam ala Lady Gaga," kata Iz yang enggan memberitahu jumlah kos perbelanjaan sepanjang berada di London.




Meneliti trend semasa di Internet yang bervariasi, kadangkala dia terfikir, mengapakah agaknya segelintir lelaki tempatan malu untuk bergaya seperti lelaki di Eropah atau di Korea?

"Apakah definisi fesyen yang mereka fahami itu hanya sesuai untuk golongan selebriti, metroseksual atau lelaki urban sahaja?" soalnya.

Bagi Iz, fesyen bukan tertakluk pada pakaian yang berjenama mahal tetapi pemilihan busana yang mampu menyerlahkan personaliti dan kekemasan diri sendiri.


SALAH satu aksi Iz yang diambil daripada koleksi peribadinya.


Siti, Amir dan Hatta

Sebagai golongan selebriti, Iz menyifatkan fesyen dan muzik perlu bergerak seiring. Tidak salah mengikut trend fesyen semasa, namun pastikan fesyen yang dipraktikkan itu tidak bertentangan dengan muzik yang dibawa.

Dia yang bakal menghadiri Festival Filem Cannes itu menyatakan penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza Taruddin merupakan artis yang bijak berfesyen.

"Bagi saya Siti tidak pernah gagal mempamerkan imej yang bersesuaian dengan aliran muziknya.


IZ selesa di hadapan kamera dengan pergerakan laksana penari profesional.


"Meskipun tidak tampil dengan pakaian yang seksi, stailnya masih terserlah dan menawan. Sebab itu, pembentukan imej amat penting bagi setiap individu terutamanya artis baru.

"Kadangkala sukar untuk menterjemahkan personaliti sebenar kepada orang lain. Atas faktor tersebut pemakaian amat membantu untuk mengekspresi personaliti seseorang. Saya seorang yang ceria dan gila-gila sebab itu fesyen saya lebih ke arah konsep funky dan pelik," ketawa pemenang Anugerah Pakaian Terbaik, Anugerah Bintang Popular 2008.

Sebelum menamatkan bicara Iz sempat menyatakan pereka Amir Luqman dan Hatta Dolmat antara pereka tempatan yang bijak menghasilkan rekaan pakaian lelaki.

Bakat pereka muda tersebut usah dipandang sepi sebaliknya mengharapkan masyarakat tempatan terus menyokong dan memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada mereka.

1 comment:

  1. seriosli buruk ngan ternganga2 mcm tu
    knonnye wat muka strong
    msti tgok antm byak sgt
    muka camtu ssuai klo ko pompuan bolehla
    idiot lah srious cam bapok bfesyen

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: