"Tidak semestinya saya bakal menjadi isteri Audi maka saya akan mendapat lagu-lagunya yang terbaik. Audi bagi saya ialah seorang yang versatil." – NIKKI PALIKAT
|
|
NIKKI PALIKAT keluar dengan album terbaru, Hawa selepas Maharani. Tidak lama lagi dia bakal bergelar hawa dan suri buat Audi Mok, komposer terkenal yang sudah tiga tahun berada dalam hati Nikki tetapi senyap daripada pengetahuan umum.
Walau berada dekat di hati komposer yang telah menghasilkan lagu-lagu hebat seperti Generasiku (OAG) dan Mahakarya Cinta (Faizal Tahir), Nikki enggan menjadikan karya-karya Audi hak eksklusifnya.
Menganggap kerjaya dan peribadi ialah dua perkara yang berbeza, Nikki, 24, berkata, Audi, 38, ialah seorang yang begitu profesional dalam kerjanya.
"Tidak semestinya saya bakal menjadi isteri Audi maka saya akan mendapat lagu-lagu terbaiknya.
"Audi bagi saya ialah seorang yang versatil. Dia akan berikan lagu yang sesuai untuk suara dan imej artis berkenaan.
"Telinganya cepat menangkap dan memberi kesesuaian. Tapi saya tidak nafikan yang saya juga banyak mendorong Audi untuk membuat keputusan. Saya memberikan pendapat saya."
Tiga tahun perkenalan dan beza umur antara mereka jelas jauh iaitu 14 tahun, namun itulah yang dicari Nikki selama ini.
Rupa-rupanya dia sememangnya menginginkan lelaki yang matang dan tua usia daripada dirinya.
"Saya sukar untuk berhubung dengan lelaki yang sama usia. Mungkin kerana saya mencari kematangan dan kestabilan," ujarnya tanpa berselindung.
Tambahnya yang gembira melihat diri dalam busana pengantin polos warna putih, saat bertemu dan berjumpa Audi adalah sesuatu yang lahir secara semula jadi.
Hatinya seolah-olah berkata itulah takdir jodohnya. Cinta hadir dan dia tahu serta faham sendiri situasi yang terjadi.
Nikki lebih yakin apabila suara hati sendiri yang memberitahu akan kehadiran lelaki itu untuk dirinya.
Nikki akur dengan segala perubahan yang bakal terjadi. Berkahwin pada usia seawal 24 tahun akan memberikan transisi kehidupan yang besar untuknya. Namun dia sudah bersedia.
Kini apa yang menjadi debaran adalah penantian untuk tarikh 27 Jun 2009. Hari Nikki bakal menjadi Puan Audi Mok. Audi dan Nikki memilih tiga buah tempat untuk acara perkahwinan dan resepsi iaitu Kuala Lumpur, Melaka dan Sabah.
"Saya dan Audi mengimpikan perkahwinan yang sederhana dan santai. Memang dari kecil saya impikan perkahwinan di tepi pantai, damai dan santai.
"Masih dalam perancangan tetapi kami akan pilih salah satu pantai untuk merealisasikan impian saya.
"Mungkin di Tanjung Aru, Sabah," ujarnya yang turut akan berbulan madu di atas kapal selama seminggu.
Namun dalam kesibukan menyiapkan hari bersejarah, apa yang lebih menjadi kepentingannya kini adalah perjalanan album keduanya.
Sebuah album yang ditulis dalam bentuk penceritaan jika mengikut kronologi lirik ke lirik.
Album Hawa menuntut Nikki membuat promosi secara habis-habisan setelah dirasakan album terdahulu tidak mendapat publisiti yang meluas.
Turut menyumbang lirik untuk dua buah lagu, Nikki nyata puas hati dengan hasil album yang diterbitkan oleh Audi Mok.
Malah dia menyatakan kulit album itu mencapai kepuasan yang diharapkan serta sesuatu yang telah dibayangkan sejak dahulu.
"Album ini lebih memberi peluang eksperimentasi kepada saya. Saya banyak mengeluarkan teknik vokal secara klasik dan operatik.
"Ia juga bersifat lebih attitude dan bertenaga," ujarnya yang manis dalam senyuman seorang bakal pengantin. - SOFIATUL SHIMA WAN CHIK
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: