Pernah dilabel sebagai menumpang populariti bapanya Amy Search, ternyata Nabila Huda berjaya membuang persepsi tersebut. Dia berdiri di atas kakinya sendiri.
Bersusah payah dia membina profil sebagai seorang pelakon tambahan sejak lebih empat tahun lalu. Tetapi kini, dia boleh berbangga kerana jerih perihnya berbalas.
Hari ini, Nabila bukan tidak lagi memainkan karakter tambahan, sebaliknya bakat semula jadi yang diasah menjadi semakin baik membolehkan dia menjadi barisan pelakon utama dalam kebanyakan drama.
Selepas hangat dengan Sutera Maya dan Laila Majnun, Nabila kini terbabit dengan sebuah lagi drama penuh konflik, Cinta Untuk Ain.
Berganding dengan sahabat baiknya, Que Haidar, drama cinta penuh lara yang akan ditayangkan di TV3 pada setiap Selasa pukul 9 malam itu akan memulakan episod pertamanya pada 24 Februari 2009.
Walaupun sering membawa karakter gadis yang penuh dengan sisi hitam kehidupan silam, Nabila tidak gentar dengan cemuhan. Bagi pelakon yang kini memegang status Puan Zaidi selepas bernikah dengan lelaki pujaannya, Zaidi Zailani pada Disember lalu, karekter itu hanya sebuah lakonan.
“Penonton tidak seharusnya melihat karakter negatif yang saya bawa tetapi merenung maksud tersirat di sebalik setiap karakter kerana masalah yang dipaparkan memang berlaku, dan ia perlu dijadikan iktibar,” ujar Nabila yang berani membawa karakter hitam demi menyampaikan mesej yang baik kepada masyarakat.
Paling membanggakan, rezekinya juga terus mencurah. Bergelar isteri, kerjaya Nabila semakin ligat. Selain akan muncul dengan filem Bohsia dan beberapa filem lain, pelakon yang baru muncul dengan album single pertama itu juga bakal menerjah pasaran Indonesia selepas dipanggil uji bakat untuk sebuah karya di sana.
Kata Nabila memanjat kesyukuran: “Alhamdulillah, rezeki semakin tidak putus. Ia juga menepis persepsi kalau artis berkahwin, rezeki mereka dalam bidang seni juga sepi.”
Sedang berbahagia menganyam cinta, saat ditanya tentang cahaya mata, pantas Nabila memberitahu dia mahukan anak. Setakat ini keinginan itu belum diperkenankan Tuhan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: