"Tidak hairan jika saya bakal keluar dengan album berbentuk nasyid. Siapa tahu? Segalanya tercipta secara tidak sengaja, di bawah sedar." – M. NASIR
PERJALANAN karier Mohd. Nasir Mohamed ibarat sebuah buku yang terisi sebuah coretan realiti. Maka hadirnya sebuah konsert yang berlangsung selama hampir tiga jam berserta lagu-lagu dahulu dan kini umpama sebuah mesin waktu yang membawa anda ke masa lampau.
Bagi penggemar muzik yang sama usia dengan perjalanan 30 tahun cerita seni M. Nasir, inilah waktu yang ditunggu-tunggu.
Sembilan tahun menanti, Konsert Alam Muzik M. Nasir pada 27 dan 28 Februari serta 1 Mac ini pasti tidak akan dilepaskan.
Sama ada berjenaka atau mungkin berasa dia sudah tidak sesuai beraksi sebagai penghias wajah besar VAZZ, banyak kali pertanyaan 'boleh jualkah?' dilontarkan oleh komposer bergelar sifu itu.
Jawapan saya kepada M. Nasir tetap sama iaitu seperti larisnya jualan tiket konsertnya di Istana Budaya.
Sebelum ini M. Nasir telah menjayakan Konsert Akar Manifestasi Akustika, Konsert Gembala dan Andalusia.
Tidak mendedahkan perincian tentang konsert tersebut, para peminatnya pasti menunggu dengan sabar.
Namun, dalam temu bual dengan VAZZ, M. Nasir memberikan sedikit petunjuk: "Konsep pentas itu bersifat surrealistik serta banyak skim warna mengikut lagu."
Keluar dengan album nasyid?
Pengikut setia muzik Kembara dan solo M. Nasir sentiasa mahukan hasil karyanya yang baru.
Penggemar muziknya seakan-akan sudah terpengaruh dengan zat-zat halusinasi dan kreativiti yang disalurkan.
Soalan tentang rutin penghasilan karya dilontarkan sewaktu temu ramah diselang seli dengan pertanyaan mengenai konsert yang bakal berlangsung nanti.
"Satu hal yang saya mesti buat adalah merakam. Bukan setiap hari tetapi sudah menjadi rutin saya untuk berbuat demikian.
"Idea sentiasa berjalan dan kalau bukan untuk penghasilan sebuah rekod, saya tetap akan rakamkan idea tersebut.
"Ada lagi yang mahu saya buat. Selagi tidak boleh habis selagi itu kita hendak buat perubahan," ujar suami Marlia Musa dan bapa kepada enam orang cahaya mata itu.
Menjelang usia 52 tahun pada Julai ini, sifu itu memberitahu bahawa pernah sekali dia berasa mahu berhenti menulis lagu tetapi ia berlaku cuma seketika.
Waktu itu dia berada dalam studio pada tahun 1980-an.
"Saya ingatkan sudah tidak ada (karya) tetapi rupanya masih ada. Saya percaya bila sampai waktu untuk berhenti, ia akan terjadi sendiri."
Perjalanan perasaan dan idea seorang sifu nampaknya tidak akan berhenti berentak. Bayangan yang diberikan berkenaan album baru yang masih dalam perancangan menandakan bahawa ideanya belum kering atau bakal terhenti.
Menganggap lagu-lagu dan karyanya sebagai sebuah pengembaraan, perjalanan itu akan bermula serentak dengan perancangan dan penghasilan material.
"Jika ada yang menyukai album Phoenix Bangkit dan sebelumnya, dan kurang gemar dengan Sang Pencinta, maka orang itu sudah 'tersangkut'," guraunya dalam pernyataan yang serius sebenarnya.
Sambung M. Nasir: "Tidak hairan jika saya bakal keluar dengan album berbentuk nasyid. Siapa tahu? Segalanya tercipta secara tidak sengaja, di bawah sedar."
Secara semula jadi juga apabila menyebut tentang karya sifu, satu nama yang pasti muncul ialah Allahyarham Loloq iaitu 'cermin' sifu yang hilang dan akan dikenang sampai bila-bila.
Bukan mahu beralih kepada topik yang bersifat emosi tetapi ia berlaku secara natural. Ujar M. Nasir, karya seorang Loloq juga terhasil tanpa sedar.
"Dia banyak topeng yang mencerminkan pelbagai karakter. Kadangkala topeng itu meresap ke dalam badannya.
"Seingat saya lirik peribadi yang mencerminkan diri dan fahamannya tentang hidup ialah Insan dan Manikam. Lirik itu tentang orang yang ditentukan menjadi sesuatu dan takdirnya begitu.
"Jiwa patriotismenya pula terserlah melalui lirik Mentera Semerah Padi," imbas M. Nasir seketika tentang individu yang paling dekat jiwanya tetapi kini jauh meninggalkan dunia yang fana.
Perasaan dalam alam
Selain individu bernama Rosli Khamis (Loloq), satu lagi nama yang sukar berenggang dalam hidup M. Nasir ialah Aznan Alias, gitaris karismatik yang memenuhi kriteria profesional sifu.
Aznan yang pernah dipanggil Nan Saturnine dan kini dipanggil Nan sahaja bertugas sebagai pengarah muzik serta pemain gitar utama untuk Konsert Alam Muzik M. Nasir.
"Konsert ini diiringi oleh 10 orang pemuzik. Tidak perlu orkestra. Cukup hanya pemuzik handalan ini," merujuk kepada tanggungjawab Jay Jay (bass), Zul Mahat (piano), Ahmad Firdaus Mahmod (keyboard pertama), Eddie Slam (keyboard kedua), Ujang Exists (drum), Pa'ang (perkusi pertama), Hamzah Hashim (perkusi kedua), Mohar Diman (seruling) dan Hanafi Spider (gitar kedua).
Kumpulan pemuzik profesional itu sudah berlatih secara serius di studio Luncai Emas. Menurut sifu, ia bermula dengan latihan biasa diikuti dengan latihan penuh sejak sebulan lalu.
Mengapa sampai sembilan tahun tanpa konsert solo, M. Nasir mempunyai persepsi tersendiri tentang soalan umum tersebut. "Kalau di Malaysia, konsert merupakan sebuah acara yang besar dan perkara yang bukan senang untuk dilaksanakan.
"Di samping itu, saya juga terbabit dalam hal-hal lain termasuk penghasilan lagu-lagu untuk artis lain dan album saya."
M. Nasir kemudian menyambung semula keterujaan apabila saya bertanyakan Konsert Alamnya yang akan berlangsung beberapa hari lagi.
"Semua bersangkutan dengan perasaan. Ia kesinambungan kepada konsert yang sudah-sudah.
"Perjalanan muzik saya jauh. Ia berkaitan dengan perubahan dalam pemikiran, stail dan jenis muzik yang pernah saya lalui.
"Daripada kerakyatan kepada rock kemudian irama Malaysia, rentak world serta kerohanian. Juga termasuk muzik pop.
"Senang cerita daripada alam Kembara hingga kini," ujar M. Nasir meringkaskan serta melambangkan konsertnya di Istana Budaya.
Semuanya bakal diraih dengan kesetiaan sifu itu pada pilihannya iaitu bernafas dengan muzik.
Ia kembara yang pastinya tidak dapat tidak harus ditonton oleh mereka yang setia dengannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: