PETALING JAYA: Atlet Paralimpik Muhammad Ziyad Zolkefli mengakui tidak dapat tidur lena kerana terlalu memikirkan mengenai majlis pernikahannya dengan Zafira Mohd Nasir pada 11 November ini.
Beliau berkata, debaran untuk bergelar suami mengatasi segala tekanan berbanding semasa beraksi di Sukan Paralimpik Rio pada September lalu.
"Perasaan gemuruh itu semestinya ada sampai saya tidak dapat tidur lena kerana majlis pernikahan saya semakin dekat.
"Bagaimanapun alhamdulillah segala persiapan sudah siap sepenuhnya. Sekarang saya hanya perlu banyak berlatih untuk akad nikah," katanya.
Majlis akad nikah untuk menyatukan pasangan Ziyad dan Zafira akan diadakan di kediaman sebelah perempuan di Nilai, Negeri Sembilan kira-kira pukul 7 malam, Jumaat ini.
Majlis resepsi sebelah perempuan akan diadakan pada 12 November di Putrajaya, manakala pihak lelaki pula pada 20 November di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Ketika ditanya mengenai harapan menjelang hari bahagianya, pemenang pingat emas acara lontar peluru kategori T20 (masalah pembelajaran) pada Sukan Paralimpik Rio itu berkata, beliau mengharapkan majlis tersebut berjalan lancar.
"Saya berharap agar segalanya berjalan dengan lancar. Apa-apapun saya sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga," katanya.
Dalam pada itu, Ziyad berkata, beliau akan berehat sehingga hujung bulan ini sebelum kembali memulakan latihannya pada Disember.
"Saya minta diberi pelepasan untuk majlis perkahwinan. InsyaAllah saya akan kembali berlatih bulan depan bagi menghadapi kejohanan di Dubai, Februari nanti," katanya.
Atlet berusia 26 tahun itu kini bergelar jutawan muda selepas menerima insentif berjumlah RM1.05 juta pada 8 Oktober lalu di atas kejayaannya meraih pingat emas pada Sukan Paralimpik Rio.
Bukan itu sahaja, Ziyad turut menerima seunit suite kediaman di Trion 888, Equine Park dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Kia Sportage berharga RM121,888 tajaan Naza Corporation Holdings (Naza).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: