ORANG ramai di seluruh dunia tidak melepaskan peluang menyaksikan  fenomena Supermoon atau 'perigee' iaitu fenomena di mana kedudukan bulan berada paling hampir dengan bumi.
Fenomena Supermoon kali ini merupakan yang terbesar pada jarak paling dekat dengan bumi sejak 68 tahun lepas iaitu pada tahun 1948.
Di Amerika Utara, Supermoon terbaik dilihat adalah pada awal Isnin sebelum subuh manakala di United Kingdom pula pada petang Isnin.
Walau bagaimanapun, kebanyakan kawasan di UK, Supermoon dikaburi oleh awan dan kabus tebal.
Penduduk UK rata-rata melahirkan kekecewaan melalui laman sosial kerana tidak dapat melihat fenomena ini berikutan faktor cuaca.
Sementara itu, orang ramai di Australia turut kecewa apabila awan tebal menyebabkan pandangan Supermoon terbatas.
Di Pantai Bondi di Sydney, bulan muncul pada sekitar 7.07 petang waktu tempatan. .
"Ia tidak memenuhi jangkaan saya. Ia keluar kira-kira 30 saat," kata seorang penonton, Michaela.
Walaupun fenomena ini pernah berlaku pada 6 Mei 2012, 23 Jun 2013, 10 Ogos 2014 dan 28 Sept 2015, namun kejadian kali ini adalah Supermoon terbesar.
Bulan dilihat kira-kira 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih cerah dan dijangka akan berlaku hanya pada 25 November 2034.