Thursday, November 3, 2016

Rem Tidak Jangka Tersingkir Dalam 'Gegar Vaganza 3'



Rem sudah buat terbaik.
SHAH ALAM: Penyanyi Rem reda apabila menerima markah terendah sehingga tersingkir pada konsert Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) minggu ketiga yang berlangsung di Auditorium MBSA, di sini, malam Ahad lalu.
Rem atau nama sebenarnya Ramzani Kassim, 42, berkata, dia sudah memberikan persembahan yang terbaik dalam menyampaikan lagu asli Penawar Rindu nyanyian asal Orked Abdullah.

"Saya tidak jangka terkeluar pada minggu ini tapi saya reda dengan apa yang berlaku, lagi pula tidak salah rasanya saya mencuba.

"Kalau diikutkan suara saya agak kasar dan kurang sesuai untuk lagu itu tapi saya bangga dengan diri sendiri kerana berjaya membawakan lagu itu dengan baik," ujarnya kepada mStar Online.
Rem diumum tersingkir pada malam konsert Gegar Vaganza 3.
Bagaimanapun, Rem berkata, biarpun perjalanan dalam GV3 sudah terhenti, namun dia bersyukur menerima peningkatan peminat di laman-laman sosial sepanjang menyertai pertandingan itu.

Katanya, dia tidak akan melepaskan peluang keduanya untuk muncul dengan single terbaharu berjudul Sinar Kasih ciptaan Anuar Razak.

"Saya akan meneruskan perancangan kerjaya seni dengan single baharu berjudul Sinar Kasih tidak lama lagi.

"Lagu ini sudah siap tetapi saya tangguhkan pelancarannya selepas Gegar Vaganza 3.

"Ini kerana program ini memerlukan komitmen yang sangat tinggi, sekurang-kurangnya dengan penyertaan saya dalam Gegar Vaganza 3 ini peminat tahu yang saya masih ada dalam industri," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: