MELAKA - Kerajaan negeri enggan membuat sebarang ulasan mengenai penemuan artifak bersejarah yang didakwa ditemui di dasar Sungai Melaka dipercayai wujud ketika era kerajaan Majapahit pada abad ke-13.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron mengakui beliau ada dimaklumkan mengenai penemuan terbabit, namun masih belum menerima laporan penuh berhubung perkara itu.
“Penemuan itu masih samar sehingga ahli arkeologi dari Jabatan Warisan membuat kesimpulan mereka. Kita tunggulah sehingga laporan penuh dihantar oleh pihak terbabit,” katanya
Sebelum ini beberapa penyelam profesional mendakwa menemui peninggalan bersejarah berkenaan yang terletak di dasar Sungai Melaka.
Penemuan sepanjang kira-kira 2 kilometer itu, ditemui dua minggu lalu berupa beberapa bahagian kuil Hindu dan struktur menyerupai kubu.
Mereka percaya penemuan artifak purba ini mungkin memberi petunjuk kepada bandar tenggelam yang wujud sebelum Parameswara mengasaskan Melaka pada 1400 lagi.
Kerajaan Majapahit berpusat di Jawa Timur dan merupakan sebuah kerajaan yang mempunyai empayar luas semasa kemuncak zaman pemerintahannya pada 1293-1527.
Melaka merupakan sebuah bandar penting untuk pegawai istana dan tentera Majapahit yang menjadikan bandar itu sebagai ibu pejabat maritim mereka.
Sementara itu, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka, Datuk Khamis Abas berkata, penemuan artifak purba yang dikaitkan dengan era Majapahit tersebut sebenar sudah lama diperkatakan sejak lewat tahun 1990-an.
Menurut beliau, beberapa peninggalan purba itu juga ada dipamerkan di Muzium Melaka
.