PRODUK aiskrim yang mempunyai kelazatan dan keistimewaan tersendiri memberikan pengalaman cukup mengujakan bagi mereka yang menikmatinya.
Aiskrim kini bukan hanya dinikmati dan menjadi kegemaran kanak-kanak sahaja, malah golongan dewasa juga turut menyukai aiskrim.
Terbaru, aiskrim susu kambing yang sudah berada di pasaran tempatan, menampilkan kelazatan berganda dengan adunan dan kombinasi menarik. Ia memberi pengalaman berbeza, dari proses penghasilan sehingga saat menikmatinya.
Tukang emas, Muhammad Fattah Riadi berkata, dia tidak pernah merasai aiskrim susu kambing dan teruja kerana aiskrim tersebut unik dan lain daripada lain.
Menurutnya, dia akan menikmati aiskrim susu kambing yang terdapat di salah sebuah pusat membeli-belah di Shah Alam yang terletak berhampiran dengan tempat kerjanya.
“Saya akan membelinya dua kali seminggu dan bertukar-tukar perisa. Saya selalu memilih perisa coklat kerana rasanya sedap dan dijual dengan harga yang berpatutan,” ujarnya.
Katanya, selain rasanya sedap, susu kambing adalah makanan sunnah dan ia mempunyai pelbagai khasiat dalam membantu memberikan kesihatan yang baik.
Sedap, tidak berbau
Sementara itu, kakitangan awam, Noordianna Salleh berkata, pada mulanya dia sekadar mencuba aiskrim susu kambing kerana ia masih baru dalam pasaran.
“Setelah beberapa kali mencubanya, aiskrim susu kambing tidak muak, tidak berbau dan rasanya tidak terlalu manis. Setiap bulan saya akan membelinya sebanyak tiga kali.
“Ia sedap dan berbeza daripada aiskrim biasa, saya menggemari aiskrim susu kambing campuran coklat dan vanila,” ujarnya.
Katanya, selain harga berpatutan, ia juga setanding aiskrim terkenal yang lain.
“Kelazatannya adalah satu perkara yang perlu dicuba setiap penggemar aiskrim di negara ini,” katanya.
Bagi pembantu butik, Fazlinda Zubir, aiskrim susu kambing mula menjadi makanan hariannya kerana ia mengenyangkan sekali gus mengelakkannya daripada mengambil makanan berat lain.
“Saya akan membeli aiskrim susu kambing setiap hari dan mengambil perisa coklat serta yogurt. Sebelum ini, saya tidak gemar minum susu kambing, sekarang saya mesti menikmatinya setiap hari.
“Saya juga memperkenalkannya kepada pelanggan yang berkunjung ke butik. Kebanyakan mereka mengakui ia sedap dan tidak berbau,” katanya.
Menariknya, ada pelanggan tetap butiknya akan datang dari jauh semata-mata untuk membeli aiskrim susu kambing sahaja.
Kembang francais
Ketua Pegawai Eksekutif Baraka Nutrifood Sdn Bhd menggunakan jenama Baraka Rahman, Abdoul Rahman Abdullah berkata, dia menjual aiskrim susu kambing sejak awal tahun lalu dan tidak menyangka menerima sambutan memberangsangkan.
Katanya, kios pertamanya yang dibuka di Anggerik Mall, Shah Alam mula menerima respons yang baik daripada pelanggan walaupun ada dalam kalangan mereka menganggap susu kambing mahal dan tidak pernah mendengar aiskrim susu kambing.
“Aiskrim susu kambing lain daripada yang lain dan saya memberikan penerangan mengenai khasiat susu kambing kepada pelanggan yang mula membeli pertama kali.
“Saya menyatakan susu kambing adalah susu terbaik dan mempunyai banyak kebaikan, antaranya membantu mendapat tubuh badan yang sihat,” katanya.
Abdoul Rahman berkata, formulasi aiskrim tersebut dibuat sendiri dan dibantu pakar teknologi makanan supaya aiskrim dihasilkan terbaik dan tidak menjejaskan kualiti susu kambing.
“Alhamdulillah, sambutan diterima baik dan kini aiskrim susu kambing kami ini difrancaiskan dan terdapat di empat lokasi iaitu Tesco Ampang dan  hentian Rehat dan Rawat Tapah, Perak.
“Cawangan Melaka akan dibuka pada hujung bulan ini, manakala di Sabah serta Sarawak menjelang akhir tahun ini,” ujarnya.
Abdoul Rahman berkata, dia juga merancang meluaskan rangkaian perniagaannya di seluruh negara dengan menyasarkan 100 perniagaan francais dan menawarkan ‘hard ice cream’ untuk dipasarkan di sekolah-sekolah menjelang Januari nanti.
“Baraka Rahman menjaga kualiti aiskrim yang dihasilkan dengan melakukan pembangunan dan penyelidikan terlebih dahulu.
“Kami mempunyai pusat pembangunan dan penyelidikan sendiri yang terletak di Melaka,” katanya.