FAR8 by Altelia Amani, merupakan anak syarikat jenama pakaian terunggul, Altelia Amani di Shah Alam, menyasarkan untuk menghabiskan kesemua stok koleksi pakaian baharunya, di samping sentiasa mahu memenuhi permintaan pelanggan.
Pengarah Urusan Altelia Amani, Mohamad Farid Omardin berkata, setiap koleksi baharu disediakan sehingga 10,000 unit dan jumlahnya akan bertambah sekiranya ada permintaan.
“Insya-ALLAH, koleksi terbaru kami yang mendapat kerjasama daripada pelakon, Fattah Amin sendiri iaitu Fattahaminxfar8 diharap mampu mendapat permintaan tinggi dari penggemar fesyen.
“Rekaan Fattahaminxfar8 didatangkan dengan beberapa variasi warna dengan penggunaan material seperti cotton, polyester dan chino yang berkualiti tinggi.
"Koleksi Fattahaminxfar8 menampilkan gaya santai kasual yang terdiri daripada jaket bomber, seluar jogger, polo dan T-shirt, oversized shirt, jumper serta aksesori kaca mata hitam, sesuai dengan kata kunci kami, Mudah, Kacak dan Bergaya,” katanya selepas majlis pelancaran koleksi tersebut, baru-baru ini.
Mohamad Farid berkata, berdasarkan sambutan menggalakkan terhadap koleksi Aidilfitri yang lalu, pihaknya optimis mencapai sasaran jualan lebih tinggi untuk koleksi Aidilfitri tahun hadapan.
“Hasil kerjasama dalam koleksi Kurta Amani bersama Fattah Amin pada Aidilfitri lalu telah memberi impak sangat memberangsangkan dalam jualan kami dengan permintaan tinggi di pasaran.
“Lebih 10,000 unit baju terjual pada masa itu, dan untuk Aidilfitri akan datang, kami akan menambah jumlah itu mengikut permintaan penggemar, di samping rekaan koleksi yang baharu,” ujarnya.
Selain itu, katanya, demi mencapai sasaran jualan yang dirancang pihaknya mengalu-alukan kepada yang berminat untuk menjadi ejen dan stokisnya di seluruh negara.
“Buat masa ini, kami sudah ada stokis di beberapa negeri termasuk negara jiran seperti Singapura, justeru kami mahu menambah lagi ejen serta stokis untuk kembangkan lagi jenama ini.
“Ia selari dengan visi dan misi kami iaitu ingin menjadi peneraju utama bagi industri fesyen lelaki di Malaysia termasuk ingin menampilkan koleksi fesyen mengikut trend dan permintaan pasaran terkini,” katanya.