
Cermin pintu masuk bilik pameran yang dipecahkan penjenayah
SUNGAI PETANI - Sebuah syarikat kenderaan kerugian lebih RM229,000 dalam kejadian rompakan bersenjata, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, empat lelaki bersenjatakan parang dan besi melarikan tiga kenderaan.
Pengawal keselamatan, A Arumugam, 58, berkata, ketika kejadian dia didatangi empat lelaki dipercayai warga tempatan menaiki sebuah kereta.
"Masa tu saya membaca surat khabar bersebelahan bilik pameran saya nampak sebuah kereta lalu sebelum berhenti di tepi kedai.
"Lepas tu, mereka turun dari kereta dan datang dekat saya mengacukan parang pada leher. Mereka arahkan saya jangan bising.
"Kaki dan tangan saya kena ikat... mulut pun kena sumbat dengan kain," katanya.
Menurutnya, suspek turut membawanya ke depan bilik pameran sebelum memecahkan pintu bilik pameran menggunakan besi.
"Perompak ni masuk dalam pejabat ambil kunci pendua dan cuba larikan kereta dalam bilik pameran tapi gagal.
"Mereka keluar semula dan bawa lari kereta Nissan Sylphy, Nissan Almera dan Proton Persona," katanya.
Katanya, dia berjaya melepaskan ikatan selepas ke penjenayah beredar.
"Saya terus maklumkan kejadian ini pada pengurus kedai sebaik ikatan dapat dilepaskan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, laporan berhubung kejadian diterima daripada pengurus bilik pameran itu.
Menurutnya, pengadu berada di rumah ketika kejadian dan mendapat makluman daripada penggera di bilik pameran berkenaan.
“Susulan itu, pengadu bergegas ke lokasi kejadian mendapati cermin bilik pameran berkenaan pecah dan tiga kereta milik syarikat hilang disyaki dicuri.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: