Tuesday, January 5, 2016

Pasangan kembar tarik perhatian hari pertama persekolahan



Pasangan kembar tarik perhatian hari pertama persekolahan
Pelajar kembar Wan Nur Faeqah dan Wan Nur Eisya (kiri) dan pasangan kembar As Bariq Basyir dan As Basriyatul Basyirah (kanan) teruja memulakan sesi persekolahan hari pertama di SK Bunut Rendang di sini, hari ini.
KUANTAN – Kehadiran dua pasang kembar pada hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang di sini bukan sahaja menarik perhatian murid-murid malah ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah ini juga turut teruja.
Guru Besar, Noriah Osman berkata, sekolah ini mencatat sejarah apabila mempunyai tiga pasang kembar iaitu dua pasangan di tahun satu manakala satu pasangan kembar lelaki dan perempuan yang kini belajar di tahun enam.
Bagi pasangan kembar seiras Wan Nur Faeqah dan Wan Nur Eisya Wan Emril Nizam, 7, mereka belajar di kelas yang berlainan iaitu di 1 Arif dan 1 Bijak.
"Saya tak kisah berpisah kelas asalkan kami dapat belajar di sekolah sama, kami boleh jumpa dan makan bersama di kantin" kata Wan Nur Faeqah.
Menurutnya, dia belajar di kelas satu Bijak sementara kembarnya Wan Nur Eisya berada di kelas satu Arif, kami seronok dan gembira dapat bersekolah dan bertemu dengan ramai kawan-kawan baru.
"Cikgu baik dan pandai pujuk.Dia tunjuk kami tandas, kelas, dewan dan tandas. Saya dan pelajar lain perlu memperkenalkan diri kepada rakan sekelas," katanya yang tinggal di perumahan Taman Guru di sini.
Selain pasangan Wan Nur Faeqah dan Wan Nur Eisya pihak sekolah turut menerima pasangan kembar As Bariq Basyir Ahmad Shukery dan As Basriyatul Basyirah.
"Pasangan kembar As Bariq Basyir dan As Basriyatul Basyirah belajar di dalam kelas yang sama iaitu satu Arif.
"Mungkin kehadiran dua pasangan kembar berkenaan akan menjadi tuah kepada sekolah yang kali ini menerima seramai 152 murid tahun satu kali ini, mereka dibahagikan kepada empat kelas," kata Noriah.
Noriah berkata, jumlah murid tahun satu kali ini menurun berbanding 173 orang tahun lalu yang membabitkan lima kelas, penurunan pelajar berlaku selepas SK Seri Melati di sini mula beroperasi tahun ini.
Sementara itu, guru kelas 1 Arif,Norhayati Isman berkata, dia tidak menghadapi sebarang masalah mengenali pasangan kembar dalam satu kelas kerana mereka berlainan jantina.
“Mereka juga dilihat tidak suka terlalu diberi perhatian ketika berada dalam kelas dan perhatian guru sama sahaja kepada setiap anak didik.
“Harapan saya agar murid-murid tahun satu ini dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan belajar bersungguh-sungguh.
 “Guru tahun satu mempunyai cabaran yang paling banyak kerana ini merupakan kelas permulaan mereka bersekolah selepas pra sekolah dan tabika,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: