Tuesday, January 5, 2016

Tiga budak hitam sarat pengajaran




Sarat pengajaran

SEBAGAI pengarah, Raja Azrey memberitahu, dia sangat berpuas hati apabila pementasan teater ini berjalan seperti yang dirancang.
Jelasnya, walaupun tahun ini hanya dua pementasan teater dilakukan iaitu Bangsawan Raja Ku Puteh dan 3 Budak Hitam, namun dia gembira kerana pelaksanaan teater berkenaan tidak berhadapan banyak masalah.
"Untuk teater ini sendiri, daripada segi pembikinannya, semuanya amat lancar. 
"Bahkan sewaktu pementasan juga, daripada segi teknikal tidak ada yang merunsingkan saya," katanya.
Bercerita mengenai pelakonnya pula, katanya, walaupun mempertaruhkan bakat baharu seperti Lokman Harmin, Weera Raja Lawak dan Black Azmeer, ia bukanlah cabaran besar baginya.
"Mungkin orang tidak mengenali mereka, tetapi bakat yang ada dalam diri mereka sangat hebat.
"Jadi, peluang ini saya ambil untuk mengetengahkan mereka sekali gus memperkenalkan mereka kepada peminat seni teater," katanya.
Ditanya apakah dia berpuas hati dengan setiap pelakon terlibat, akuinya, dia memang berpuas hati.
"Saya sebenarnya sangat lega kerana mereka berjaya menyampaikan karakter masing-masing dengan jelas dan mudah difahami penonton.
"Jika penyampaian mereka tidak jelas, sudah pasti ia mencacatkan seluruh pementasan kerana penonton tidak dapat memahami naskhah itu," katanya.
Bercakap mengenai penampilan Jalaludin pula, ujarnya, dia sudah lama mengimpikan pelakon berkenaan beraksi dalam produksinya.
"Saya berterima kasih dengan beliau kerana sudi membantu menguatkan karya ini. Bahkan, saya adalah peminatnya sejak dahulu lagi, kerana itu, saya ciptakan satu peranan khas untuk beliau menerusi teater ini," katanya.

Dapat kepercayaan pengarah
Menurut salah seorang teraju utama teater ini Lokman Hakim yang membawakan watak Karim Pin, dia bersyukur kerana mendapat kepercayaan Raja Azrey.
"Ini adalah kali kedua saya diberikan watak utama yang mana sebelum ini menerusi bangsawan Raja Ku Puteh.
"Bagaimanapun, bagi watak ini ia sangat berlainan kerana Karim Pin ini seorang yang mempunyai emosi tidak tetap kerana masalah peribadinya.
"Saya turut menjadi ketua kepada dua lagi rakan setelah berjaya melepaskan diri dari lokap," katanya.
Tambahnya, memainkan peranan penting sebegitu adalah cabaran besar kepadanya.
"Cabaran kali ini sangat kuat, kerana buat pertama kalinya saya perlu bergabung tenaga dengan dua lagi pelakon untuk mendapat keserasian.  Memang kami pernah berlakon bersama, tapi itu hanya untuk watak kecil.
"Saya berharap penonton berpuas hati dan menerima baik lakonan kami kerana baik saya mahu pun pelakon lain telah melakukan sebaik mungkin demi teater ini," katanya.
Bagi Weera Raja Lawak yang menjadi Hassan Tubi, ia merupakan projek ke empatnya bersama produksi berkenaan.
"Saya menjadi seorang yang selekeh tetapi petah berkata-kata. Bagi saya untuk merealisasikan watak ini ia punya cabaran tersendiri. Bukan mudah memperlihatkan kepada orang bahawa kita ini petah orangnya. Kerana itu ia memberi kesukaran dan tekanan buat saya. 
"Bagaimanapun, saya telah bekerja keras dalam latihan agar apa yang dimahukan oleh pengarah tercapai," katanya.
Berkongsi pengalaman bekerja dengan Raja Azrey pula, akui Weera, Raja Azrey seorang yang mudah dibawa berbincang.
 "Dia sangat menekankan kefahaman naskhah dan watak yang saya perlu bawa. Adakala suasana latihan akan jadi lebih ceria ketika dia berlakon bersama bagi menunjukkan cara lakonan yang betul," katanya.
Memainkan peranan sebagai Shamsul P, jelas Black Azmeer, dia sebenarnya sudah lama mengimpikan peranan sebegini.
"Kalau diikutkan saya sudah bersama Raja Azrey sejak 2006 lagi. Dia sudah lama menjadi guru saya, jadi apabila diberi peluang beraksi sebagai teraju utama memang saya tidak akan mensia-siakannya.
"Lagi pun karakter Shamsul P sebagai seorang lelaki baik hati dan penyayang memberi perspektif baharu dalam karier saya," katanya.
Tambahnya, beraksi di atas pentas dengan masa persembahan lebih kurang 100 minit, menjadi cabaran besar kepadanya.
"Selain memerlukan stamina tinggi, mental yang kuat perlu ada bagi memastikan pergerakan cerita ini berada di graf yang betul. 
"Kerana itu sepanjang sesi latihan, apa sahaja yang pengarah suruh buat, saya akan mengikutnya 100 peratus untuk memberikan yang terbaik kepada penonton," katanya.

Uji kemampuan
 Dalam pada itu, Jalaludin mengakui gembira diberikan ruang terlibat menerusi pementasan ini meski pun skalanya tidak sebesar di Istana Budaya.
"Bagi saya, di mana sahaja ia dipentaskan, ia tetap mempunyai kehebatan tersendiri. Berlakon teater bukan calang-calang kerana impak dan cabarannya sangat besar.
"Ia sekali gus menguji kemampuan saya sebagai pelakon dalam usia yang sudah mencecah angka 62 tahun ini," katanya.
Jelasnya, beliau telah lama mengenali Raja Azrey dan sedar perkembangannya dalam bidang teater.
"Sebelum ini kami pernah berbincang untuk bekerjasama bagi sebuah teater, namun kerana hal-hal tertentu ia tidak dapat diteruskan.
"Kali ini, apabila diberikan peluang bekerja dengannya, memang saya tidak menolak. Sementelah, saya teringin sangat berlakon dengannya," katanya.
Jalaludin turut berpuas hati kerana teater ini merupakan naskhah yang hebat dan menarik untuk dipentaskan.
"Ia punya kekuatan dan mesej tersendiri. Malah watak saya, biar pun tidak besar tetapi saya gembira melakonkannya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: