Tuesday, January 5, 2016

Hanya empat murid tahun satu SK Pulau Aman



Hanya empat murid tahun satu SK Pulau Aman
Hanya empat murid Tahun Satu mendaftar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Aman dekat sini hari ini. - Foto internet
GEORGETOWN - Hari pertama persekolahan hari ini menyaksikan hanya empat murid Tahun Satu mendaftar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Aman dekat sini.
Namun, bilangan murid yang sedikit itu tidak mematahkan semangat Nurul Artika Md Redzuan, 26, untuk mendidik mereka dan menganggap ia adalah pengalaman yang amat berharga.
Guru muda berusia 26 tahun itu, memulakan hari pertamanya bergelar pendidik sebagai guru kelas kepada empat murid itu.
"Apa yang penting pada saya ialah cuba berkawan dengan empat anak murid yang memang anak jati Pulau Aman itu agar mereka selesa untuk hadir ke sekolah serta menjadikan sekolah sebagai tempat yang menyeronokkan.
"Pada hari pertama persekolahan hari ini, saya nampak mereka ceria dan bersemangat untuk memulakan alam baharu biarpun hanya mereka berempat berada di dalam kelas saya," kata guru kelas 1 Aman itu.
Empat murid Tahun Satu yang mendaftar di SK Pulau Aman itu ialah Adib Ramadhan Zakaria, Muhammad Rayyan Shauqal Mohd Shukri, Mohd Basri Khalid dan Nur Asmida Umairah Hizer.
Selain empat murid Tahun Satu itu, terdapat seorang murid iaitu Amir Haziq Ahmad Hanif di Tahun Dua, tiga murid Tahun Tiga, empat murid Tahun Empat, 10 murid Tahun Lima dan dua murid Tahun Enam.
Muhammad Rayyan Shauqal, anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, ibu dan ayahnya memang penduduk Pulau Aman dan sejak semalam beliau tidak sabar hendak ke sekolah.
Sementara itu, di Tasek Gelugor, Nur Farhana Liyana Shamsul Anuar, 7, merupakan antara enam murid Melayu yang memulakan sesi persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lee Chee, di sini.
Ayah kanak-kanak itu, Shamsul Anuar Md Hussain, 43, yang bekerja sebagai pemandu lori, berkata beliau mengambil keputusan menghantar dua anaknya ke sekolah jenis kebangsaan bagi membolehkan mereka menguasai bahasa Mandarin.
"Anak yang sulung sudah Tahun Enam di SJKC Lee Chee ini dan memang nampak perkembangan yang baik dalam pembelajaran dia sebab itu saya turut menghantar adiknya bersekolah di sini," katanya ketika ditemui di SJKC Lee Chee di sini.
Pengetua SJKC Lee Chee Damin Ooi Peng Hoo berkata pada tahun ini, sekolah itu menerima enam pelajar Melayu iaitu seorang lelaki dan lima perempuan untuk kemasukan Tahun Satu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: