Friday, January 1, 2016

Sorotan kes 'eskalator maut' 2015




Pasang tanda amaran tambahan di eskalator

TAHUN 2015 menyaksikan pelbagai kisah ngeri melibatkan eskalator atau tangga bergerak di seluruh dunia dan tidak terkecuali juga berlaku di negara ini. Kecuaian atau masalah teknikal antara punca yang menyebabkan kemalangan itu berlaku.
Berikut adalah antara kes kemalangan eskalator yang menyaksikan mangsa rata-rata terdiri daripada golongan kanak-kanak hingga menyebabkan ada yang mengalami kecacatan kekal lebih menyedihkan apabila ada yang kehilangan nyawa.
1. 3 April 2015, Kuala Lumpur:
Keseronokan dua kanak-kanak bermain eskalator di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut selepas terjatuh dari jarak ketinggian mencecah 70 meter atau setinggi enam tingkat.
Kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Nurhayada Sofia Musa, 6 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.
Polis mengklasifikasikannya sebagai kematian mengejut dan mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
2.  10 Mei 2015, Kota Kinabalu:
Seorang bayi perempuan berusia 18 bulan terselamat selepas terjatuh dari eskalator di tingkat satu pusat beli-belah 1Borneo di Jalan Sulaman.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa Noraini Herman bernasib baik apabila hanya luka di mulut dan bengkak di mata sebelum menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) dan keadaannya dilaporkan stabil.
Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa dikatakan bermain di eskalator di tingkat satu manakala ibunya membayar tiket tempat letak kereta di mesin berhampiran tempat kejadian.
3. 22 Julai 2015 ­, Georgetown:
Seorang kanak-kanak tiga tahun cedera parah selepas tangannya tersepit pada eskalator di sebuah pusat membeli belah, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Ng Wei Kang bersama keluarganya berkunjung ke pusat beli belah berkenaan untuk membeli beberapa barangan keperluan.
Difahamkan, pasukan bomba dan penyelamat yang dikejarkan ke tempat kejadian terpaksa mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit.
4. 9 Ogos 2015, Kelantan:
Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, patah paha kanan selepas terjatuh dari tangga bergerak di sebuah pasar raya kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Difahamkan, kanak-kanak terbabit mengikuti ibunya membeli belah di pasar raya berkenaan sebelum tergelincir pada ketinggian 1.8 meter.
Menurut saksi, kanak-kanak malang terbabit berdiri di belakang ibunya yang sedang menaiki tangga bergerak menuju ke tingkat satu pasar raya itu sebelum tergelincir sebaik tiba di pertengahan tangga.
5. 1 November 2015, Kuala Lumpur:
Kaki seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun tersepit pada eskalator di pusat membeli-belah Suria KLCC.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat KLCC, Che Shaari Abdullah berkata, kanak-kanak berkenaan berada pada eskalator bersama ibu bapanya di aras dua pusat membeli-belah itu apabila kaki kirinya tersepit pada kira-kira jam 7.40 malam.
Menurut Che Shaari, anggota bomba berjaya mengeluarkan kaki budak lelaki berkenaan kurang dari 10 minit sebelum segera dikejarkan ke hospital bagi merawat kakinya yang cedera.
Katanya, kaki boleh tersepit sekiranya kaki terlalu kecil walaupun berkasut sekiranya anda tidak berhati-hati.
Sementara itu, kemalangan sama turut berlaku di beberapa negara termasuk China hingga ada yang meragut nyawa mangsa.
6. 19 Mei 2015, Dongguan, China:
Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun bernasib baik apabila terselamat selepas terjatuh beberapa meter dari eskalator di sebuah pusat beli-belah di Dongguan, di Selatan China.
Rakaman CCTV menunjukkan kanak-kanak lelaki yang lebih besar telah menuruni tangga bergerak itu sementara mangsa telah bermain dengan pemegang eskalator sebelum tergelincir selepas pemegang itu bergerak.
Rakaman CCTV yang lain menunjukkan bagaimana kanak-kanak itu terjatuh ke lantai yang mengejutkan beberapa pekedai di situ.
Namun, kanak-kanak itu terselamat selepas menerima rawatan di hospital beberapa hari.
7. 26 Julai, Hubei, China:
Seorang wanita berusia 30 tahun maut selepas terjatuh apabila lantai eskalator runtuh di sebuah pusat membeli belah di bandar Jingzhou.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Xiang Liujuan menaiki tangga bergerak berkenaan bersama anak lelakinya dan ketika melangkah, lantai eskalator tiba-tiba runtuh dan menyebabkan dia bersama anaknya terjatuh dan hampir 'ditelan' eskalator berkenaan.
Bagaimanapun Liujan sempat menolak anaknya ke depan dan kemudian ditarik oleh pengunjung yang berada di lokasi insiden berkenaan dan seorang pengunjung turut dilihat cuba untuk menyelamatkannya dengan menarik tangan namun gagal.
Anggota keselamatan mengambil masa empat jam untuk mengeluarkan mayat mangsa, punca kejadian dipercayai disebabkan skru pemijak berkenaan yang longgar.
8. 28 Julai 2015, Guangxi, China:
Kanak-kanak lelaki berusia setahun tersadung ketika sedang menaiki eskalator di pusat membeli belah Sun Square, Wuzhou, Guangxi hingga menyebabkan tangan kirinya tersepit dan dilaporkan patah.
Menurut pekerja pusat beli-belah itu, kanak-kanak berkenaan bersama neneknya dan dipercayai kejadian itu adalah disebabkan kecuaian neneknya dan bukan akibat masalah pada eskalator berkenaan.
Anggota keselamatan bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
9. 1 Ogos, Shanghai, China:
Kaki seorang lelaki, Zhang 35 yang cedera parah selepas tersepit selepas lantai eskalator runtuh terpaksa dipotong di aras betis untuk menyelamatkannya.
Zhang merupakan pekerja pembersih di pusat membeli-belah Cloud Nine dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, Zhang sedang mengemop permukaan eskalator sebelum satu panel logam terbalik menyebabkan kaki kirinya tersepit.
Siasatan mendapati, Zhang cuai ketika menjalankan tugas kerana tidak mematikan eskalator itu sebelum membersihkannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: