
Seorang murid sebuah sekolah di ibu kota membeli nasi lemak ketika waktu rehat
GOMBAK - Rata-rata kantin sekolah di daerah ini menjual nasi lemak antara RM1 hingga RM1.50, manakala air pula berharga RM 1 secawan.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa sekolah di sini mendapati kadar tersebut dianggap tidak membebankan kerana rata-rata murid dan pelajar yang ditemui memaklumkan diberikan antara RM3 hingga RM5 untuk belanja sekolah setiap hari.
Sementara harga bagi sepinggan mi juga turut dijual pada kadar sama. Hanya sebuah sekolah mengenakan harga minuman pada harga RM1.50 hingga RM 2, namun diletakkan dalam plastik.
Seorang pelajar ditemui berkata, harga tersebut dianggap murah kerana masih mampu ditampung olehnya.
“Memang tiap hari makan di kantin saja dan tidak membawa bekal. Tidak juga makan di luar sekolah kerana masih belum mampu.
“Jika ada yang makan di luar mungkin mereka yang ponteng sekolah, tiada kaitan dengan harga di kantin.
“Dari segi hidangannya juga memuaskan dan mengenyangkan,” katanya yang kini berada di tingkatan 3 sebuah sekolah di Selayang Baru.
Sementara seorang ibu yang ditemui, Rozita, 30-an berkata, disebabkan anaknya masih belum pandai membezakan nilai wang, dia membekalkan makanan buat anaknya.
“Anak baru masuk darjah 1 masih tak kenal duit, jadi saya bekalkan makanan semasa rehat seperti nuget, sosej atau roti.
“Sebelum pergi ke sekolah dah bagi dia makan nasi. Bagi juga RM 2 jika dia mahu beli keropok atau makanan ringan di sekolah.
“Tak boleh teman dia setiap hari sebab saya bekerja dan pihak sekolah juga tak galakkan ibu bapa menunggu kerana tak mahu ganggu proses pembelajaran anak,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: