Tuesday, January 19, 2016

'Kami kesian pada mak bapak'



'Kami kesian pada mak bapak'
Sabariah sedang melayan murid sekolah.
KUALA LANGAT - Isu harga makanan di kantin sekolah sekitar Kuala Langat tidak timbul apabila kebanyakan pengusaha kantin mengambil pendekatan meletakkan harga mengikut ketetapan pihak sekolah atau kementerian.
Tinjauan Sinar Harian di tiga buah sekolah di Kuala Langat mendapati kebanyakan pengusaha tidak mahu menaikkan harga makanan, walaupun kebanyakan peniaga mengeluh harga barangan semakin meningkat.
Pengusaha sebuah sekolah rendah di Dun Morib yang mahu dikenali sebagai Nur, 40, berkata, tiada sebab perlu menaikkan harga sebab kasihan kepada murid-murid sekolah.
Menurutnya, kebanyakan harga kuihnya berharga 40 sen bersaiz besar dan enak.
“Bagaimanapun, akak tak pastilah kalau-kalau ada yang cakap kuih yang akak jual mahal tapi kebanyakan guru-guru dan ibu bapa yang pernah beli kuih kat sini puas hati tak ada pula kompelin.
“Tapi kalau ada masalah dengan makanan yang akak jual, memang akak selalu minta pihak sekolah maklumkan,” katanya yang tiada masalah dengan isu harga makanan.
Berlainan pula bagi Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Bumbun (A), Pulau Carey, Ali Alimin berkata, harga makanan dan minuman di sekolahnya masih lagi harga biasa dan tiada kenaikan harga.
Katanya, beliau sentiasa membuat perbincangan dengan pengusaha kantin bagi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada murid-murid.
“Saya lihat kuih masih dijual 30 sen sebiji, nasi lemak pun tak mahal, masih 80 sen sepinggan.
“Yalah ni kan sekolah luar bandar dan kebanyakan mereka pun merupakan masyarakat orang asli jadi harga tak bolehlah tinggi,” katanya.
Bagi pengusaha kantinnya, Sabariah Noordin, 53, berkata, dia menitikberatkan kebersihan dalam kendalian makanannya.
Katanya, walaupun sering dengar kenaikan harga barang tapi dia, tidaklah menaikkan harga makanan sesuka hati.
“Saya mahu pelanggan saya terdiri daripada murid sekolah mendapat makanan yang sihat dan bersih.
“Soal harga tak jadi masalah janji pihak sekolah atau sesiapa sahaja yang singgah beli berpuas hati,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan di sebuah sekolah di Dun Telok Datok menunjukkan pengusaha kantin mengambil inisiatif mempelbagaikan makanan supaya pelajar dapat membuat pilihan.
Menurut seorang pekerja kantin, Ahmad Musa, 33, berkata, dia mengakui saiz makanan kadang kala boleh menimbulkan isu bagi pelanggan untuk mendapatkan makanan.
Namun katanya, apabila banyak pilihan pelajar boleh pilih dan mungkin juga mereka sendiri pilih kuih atau makanan yang bersaiz besar dan banyak mengikut pilihan mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: