
Zaleha menunjukkan mi bandung Muar yang mempunyai peminat setianya yang tersendiri sejak lebih tujuh tahun lalu.
TIDAK perlu pergi ke Muar, Johor sejauh 80 kilometer untuk menikmati mi bandung Muar, apabila menu yang sama lazat serta istimewa ini ditawarkan kedai Zaleha Caterer yang terletak di tepi jalan utama Tampin-Gemas di Kampung Jelawai, di sini.
Malah, menu hasil air tangan Zaleha Eleas, 51, sejak lebih tujuh tahun lalu itu mempunyai peminatnya tersendiri sehingga ada yang sanggup pulang ke kampung halaman dan membungkus menu berkenaan untuk dinikmati bersama keluarga.
Menurut Zaleha, antara peminat setia menu berkenaan ialah pelakon veteran, Ruminah Sidik, atau lebih dikenali sebagai Mak Mah yang akan singgah ke warungnya itu untuk menikmati menu mi bandung Muar yang dimasaknya.
“Pernah juga saya cadangkan menu lain sebab kedai ini juga ada menawarkan menu seperti mi kari dan lauk-pauk sebanyak 15 jenis, namun Mak Mah menolak dan tetap mahukan mi bandung Muar juga.
“Walaupun sudah banyak kali singgah di warung ini, Mak Mah tidak bosan-bosan meminta menu yang sama kerana katanya rasanya sangat sedap dan berbeza di tempat lain,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kedainya, di sini, kelmarin.
Zaleha berkata, Mak Mah sudah menjadi pelanggan tetap kedainya setiap kali pulang ke kampung halaman suaminya di Felda Jelai.
Menurutnya, dia mula menghasilkan menu mi bandung Muar semasa menawarkan perkhidmatan di kantin Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh sejak lebih tujuh tahun lalu.
“Walaupun sudah tidak berniaga di sana, guru-guru yang merindui mi bandung Muar saya akan berkunjung ke warung ini untuk menikmati menu ini. Sama juga dengan peminat setia yang lain yang tidak mahu berubah menu pesanan setiap kali berkunjung ke sini," katanya.
Menurutnya, resipi mi bandung Muar itu adalah olahan resipi dan bahan sedia ada supaya lebih sesuai dengan cita rasa pelanggan yang berkunjung ke warungnya.
“Orang di sini lebih suka masakan yang pedas, jadi kita tambah bahan untuk lebih pedas dan ternyata ini membuatkan mereka semakin suka dengan mi bandung Muar, di sini,” katanya.
Zaleha berkata, selain mi bandung Muar yang dijual hanya RM4 semangkuk, menu istimewa lain yang sentiasa menjadi pilihan ialah rendang maman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: