Saturday, January 16, 2016

‘Malam pun boleh beriadah’



‘Malam pun boleh beriadah’
Suasana meriah waktu malam di Family Fun Park.
SEREMBAN - Mungkin ada antara ibu bapa yang tidak sempat untuk beriadah bersama keluarga di siang hari.
Bagaimanapun, mereka sebenarnya mempunyai pilihan untuk beriadah di waktu malam di Family Fun Park di Dataran Centrio, di sini, yang dibuka sejak empat bulan lalu.
Terdapat lebih 20 permainan disediakan seperti kasut roda, basikal, skuter mobiliti dan ekasikal elektrik yang sesuai untuk pelbagai lapisan usia.
Usaha membangunkan dataran tersebut merupakan inisiatif dua rakan kongsi, Abdul Rahman Mohamed, 40, dan Mohd Khilaj Mohd Radi, 38, selepas mereka diberi kepercayaan oleh pihak pemaju.
Abdul Rahman berkata, dia sendiri tidak menyangka tempat terbabit yang awalnya lenggang tanpa pengunjung, kini menjadi tumpuan ramai  terutama malam mingggu.
“Pada awal pembukaannya September lalu, hanya terdapat tiga peniaga yang berani mencuba nasib di situ. Ada beberapa orang datang, tapi mereka sekadar bertanya sahaja.
“Tapi hanya selepas seminggu, orang sudah mula ramai datang dan peniaga tumbuh bagaikan cendawan menunjukkan ia bukan sahaja menjadi lokasi riadah keluarga pada waktu malam tapi juga tempat orang mencari rezeki,” katanya.
Khilaj berkata, jumlah pengunjung yang datang pernah mencecah sehingga 10,000 pada malam tahun baharu, manakala pada malam minggu pula sehingga 5,000.
Menurutnya, terdapat 30 peniaga di situ, manakala 60 penjaja kecil dalam proses mendapatkan permit daripada Majlis Perbandaran Seremban (MPS).
“Tempat ini memang sudah jadi tumpuan ramai sekarang bukan saja kepada sesi keluarga yang mahu datang beriadah, tapi juga kepada para peniaga. Sekurang-kurangnya warga Seremban ada aktiviti dapat diisi bersama keluarga pada waktu malam.
“Kita buka bermula 5 petang hingga 1 pagi pada hari biasa, manakala hari Jumaat sehingga Ahad sehingga 3 pagi atau bergantung kepada kehadiran pengunjung,” katanya.
Paling penting, katanya, semua aktiviti di dataran terbabit dijalankan secara sah dan turut mendapat kebenaran MPS.
Petugas lakukan kawalan lalu lintas
Walaupun tempat berkenaan mendapat sambutan, Khilaj bagaimanapun mengakui masih terdapat kelemahan perlu dibaiki dan kini dalam proses untuk ditambah baik.
“Saya tak nafikan ada rungutan daripada orang ramai mengenai lokasi ini mengundang masalah sosial dan soal keselamatan pengunjung yang bermain tidak dititiberatkan.
“Sebenarnya rondaan dan kawalan lalu lintas ada dibuat petugas kami, tapi jika ada pengunjung yang masih berdegil bermain di jalan raya sewenangnya itu di luar kawalan kami kerana kawasan ini terbuka,” katanya.
Sementara itu, pengunjung,  Shazali Abd Wahab, 37, yang pertama kali datang ke situ berkata, lokasi tersebut dapat dijadikan tempat berkumpul sesi sekeluarga pada setiap hujung mingggu.
“Selalunya saya bawa anak-anak ke taman permainan sahaja, tapi itu pun hanya pada waktu siang.
“Bagi saya agak menarik apabila ada kawasan sebesar ini yang dijadikan tempat riadah atau hiburan keluarga. Cuma kalau boleh waktu operasi perlu dihadkan sehingga jam 12 malam sahaja kerana tidak mahu ia jadi lokasi tempat remaja melepak sehingga awal pagi,” katanya,
Manakala Mah Shu Fang, 21, pula sanggup datang daripada Lukut, Port Dickson untuk membawa anak-anaknya merasai keseronokan bermain di situ.
“Suasananya memang meriah sebab setahu saya, masih belum ada tempat hiburan keluarga seperti ini di Negeri Sembilan,” katanya.
Harap boleh bertahan lama
Dalam pada itu, seorang pengurus teknologi maklumat nekad berhenti kerja dan menjalankan perniagaan di situ sepenuh masa selepas melihat potensi yang ada.
Ahmad Jamil Hamdan, 34, yang menawarkan perkhidmatan sewaan basikal elektrik pada awalnya hanya memiliki lima buah dan kini bertambah kepada 21 buah selepas melihat sambutan ramai.
“Saya seronok melihat ramai yang datang bersama keluarga menjalankan aktiviti riadah di sini. Saya tahu tapak ini hanya sementara, tapi sebagai peniaga harapnya tempat ini boleh bertahan sekurangnya setahun,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: