Monday, January 4, 2016

Langit Cinta temukan Keith Foo dan Fazura



Langit Cinta temukan Keith Foo dan Fazura
Langit Cinta temukan Keith Foo dan Fazura
NAMA kedua-dua figura ini tidak asing lagi di dalam industri seni. Bahkan aktor dan aktres ini juga sudah mempunyai latar belakang dan kumpulan peminat tersendiri.
Namun buat pertama kali ini, kedua-dua figura ini bergandingan menerusi naskhah hebat, Langit Cinta. Filem arahan Osman Ali ini menyaksikan gandingan pertama kali aktor kacak, Keith Foo dan pelakon berbakat besar, Nur Fazura atau lebih dikenali sebagai Fazura.
Bakal menemui penonton di layar perak bermula 7 Januari ini, kedua-dua pelakon ini melahirkan rasa terujanya untuk menanti sambutan dan komen peminat mengenai filem terbabit.
“Filem ini merupakan naskhah yang berat dan saya sendiri meragui diri sendiri untuk menjayakan watak Alif Zulkarnain.
“Saya juga berdebar menanti reaksi penonton terhadap filem ini dan saya percaya semua pelakon juga begitu.
“Apa pun saya sangat bersyukur kerana berpeluang berlakon dengan semua pelakon senior termasuk Fazura,” ujar Keith Foo yang ditemui baru-baru ini
Keith berkata, dia tidak bimbang apabila sesetengah pihak membandingkan lakonannya dengan Farid Kamil yang juga berlakon di dalam filem berkenaan kerana untuk beberapa babak, ia sengaja dinampakkan sedemikian.
“Ada beberapa babak memang kita bincang untuk nampak Farid lebih menonjol daripada saya kerana orang luar yang datang ke kampung. Jadi kenalah rendahkan diri untuk memenangi hati orang kampung,” katanya.
Tambah Keith, dia bersedia menerima apa jua kritikan dan menganggap semua itu sebagai satu proses pembelajaran.
“Secara peribadi, memang ada beberapa perkara kecil yang saya tidak berpuas hati, yang saya rasa saya patut buat tapi tak buat. “Malah saya juga terlalu push diri untuk bawakan watak Alif Zulkarnain kerana ia berat.
“Bahkan saya rasa semua babak di dalam filem ini berat dan saya sudah cuba yang terbaik untuk jayakan watak saya,” jelasnya.
Tidak mengambil enteng terhadap watak dan mendapat keserasian untuk membawakan watak Alif Zulkarnain dan Khadijah, kedua-dua pelakon ini sempat mendapatkan khidmat nasihat dan tunjuk ajar dari pelakon hebat, Fauziah Ahmad Daud (Ogy).
“Saya ditugaskan untuk belajar berlakon dengan Kak Ogy dan dia telah berjaya ‘menelanjangkan’ saya dan mengeluarkan karakter Puteri Farhana, Ifti Liyana dan menyuntik roh Khadijah di dalam diri saya.
“Bahkan Keith juga turut mendapatkan tunjuk ajar Kak Ogy bagi mendapatkan keserasian antara kami sepanjang babak kami di Pulau Tuba, Langkawi yang menjadi antara lokasi penggambaran kami di dalam filem ini,” katanya.
Tambah Fazura, secara peribadi, dia mencintai wanita bernama Khadijah kerana digambarkan sebagai seorang wanita yang kuat, berani dan mengambil kekuatan Khadijah sebagai inspirasi hidupnya.
“Setiap semangat, jiwa, kasing sayang  Khadijah secara tidak langsung menjadi inspirasi kepada saya.
“Bahkan setiap kali kali menangis, saya rasa roh Khadijah di dalam diri saya,” katanya.
Langit Cinta mengisahkan percintaan antara dua darjat. Alif Zulkarnain yang berasal dari sebuah keluarga berada sanggup melepaskan segala-galanya demi cintanya terhadap seorang gadis desa, Khadijah.
Namun cinta suci mereka ditentang oleh keluarga Alif, lalu memisahkan ikatan mereka sebagai suami isteri. Khadijah terpaksa berjiwa kental untuk berdepan dengan pelbagai dugaan hidup meskipun Alif tiada di sisi.
Di saat Khadijah hampir putus harapan pada cinta Alif, Budiman (Farid Kamil) menawarkan dirinya bagi merawat luka di hati Khadijah.
Turut menjalani penggambaran di Kundasang dan Kuala Lumpur, Langit Cinta menampilkan artis seperti Keith Foo, Fazura, Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Datuk Jalaluddin Hasan, Farid Kamil dan Siti Saleha.
Bahkan filem ini juga menyaksikan buat pertama kalinya sebuah naskhah daripada filem diadpatasi ke bentuk novel. Mengekalkan judul sama, novel Langit Cinta diterbitkan oleh Alaf21 dan ditulis semula oleh Damya Hanna.
Damya Hanna sebelum ini cemerlang menerusi beberapa buah novelnya seperti Bicara Hati, Senafas Cinta dan Sepi Tanpa Cinta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: