
GLP pejuang lagu-lagu puisi
JULUNG kalinya, ruangan ini mengetengahkan sebuah kumpulan muzik yang menghasilkan lagu-lagu berbentuk sastera puisi.
GLP atau Grup Lagu Puisi terdiri daripada dua ahli yang diterajui Ilya Kablam bersama rakannya Hijas.
Menurut Ilya, mereka merupakan artis rakaman Esastera Records sejak 2011 di mana idea penubuhannya dicetuskan oleh pendiri laman web eSastera2u.com, yang juga Presiden Persatuan Aktivis e-Sastera Malaysia (E-Sastera), Prof Dr Ir Wan Abu Bakar Wan Abas.
"Tujuan penubuhan GLP adalah untuk membuat lagu-lagu dari puisi penulis-penulis terpilih yang berkarya di laman web eSastera2u.com dan eSasterafb.com sebagai langkah memajukan bidang sastera siber.
"Pendek kata, GLP ditubuhkan untuk menyokong kegiatan puisi di alam siber, dengan membawa puisi-puisi dari laman web eSastera2u.com karya penulis terpilih untuk dipopularkan di arus perdana melalui industri muzik (bidang nyanyian)," katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, kumpulan menyanyikan lagu-lagu puisi bukanlah suatu idea baru, tetapi sesuatu yang akan berlaku dari semasa ke semasa.
"Apabila sumber-sumber yang betul bertemu (pendiri laman web, profesor, penyanyi, dan produser muzik), sesuatu yang serius seperti album lagu puisi dapat dihasilkan, diterbitkan dan dipasarkan dalam industri hiburan arus perdana.
"Apa yang penting, GLP dapat membuka mata para penulis lain yang mungkin berminat untuk menerbitkan puisi mereka dalam bentuk lagu.
"Di masa hadapan, jika ramai penulis berminat menerbitkan karya mereka dalam bentuk lagu, ini juga dapat menyuburkan industri muzik dan industri seni tanah air secara keseluruhannya.
"Jalan yang telah GLP rintis ini adalah contoh untuk diteruskan oleh generasi akan datang. Kami berharap lebih ramai penaja yang sanggup menaja anak-anak muda berdisiplin dan berbakat untuk membuat lagu dan bekerjasama dengan produser muzik tempatan," katanya.
Lima tahun penubuhan kumpulan itu, Ilya berkata, GLP menerima sambutan sangat positif baik di Malaysia mahupun Indonesia.
"GLP telah membuat persembahan (lagu-lagu sendiri) di pelbagai acara dan rancangan TV dan radio di Malaysia dan Indonesia. Paling manis adalah sambutan dari khalayak puisi dan awam yang GLP terima di Jogjakarta, Indonesia.
"Sejak membuat persembahan di Jogjakarta pada Ogos 2014, GLP telah diundang dua kali ke Jogjakarta pada November 2014 dan November 2015. Juga dua kali bersiaran di ADI TV Jogjakarta (Ogos 2014 dan November 2015) dan salah satunya merupakan persembahan di dalam sebuah acara khas bersama kumpulan-kumpulan pemuzik dari Jogjakarta.
Cabang baharu pencinta sastera
Cabang baharu pencinta sastera
Ilya juga berpandangan, lagu puisi adalah sebuah bidang sangat sesuai untuk pencinta muzik dan penulis puisi seperti dirinya dan Hijas.
"Pasti ramai lagi di luar sana yang berdisiplin dan mempunyai minat dan bakat dan sanggup berhempas pulas dalam bidang muzik seperti kami berdua yang memilih menjadi penyanyi lagu puisi.
"Selain itu, untuk pencinta sastera yang mahu karya mereka diketengahkan dalam bentuk lagu, haruslah mencari produser muzik tempatan yang jujur untuk membuat lagu puisi mereka," katanya.
Selain bidang nyanyian, Ilya turut berkongsi minatnya dalam dunia sastera dan disumbangkan dalam penghasilan karya di alam siber.
"Saya dan Hijas juga merupakan seorang penulis puisi, cerpen, dan lirik lagu yang berkarya di alam siber khasnya di laman web e-Sastera.com dari 2003.
"Hijas juga ada menyumbangkan beberapa karya dalam antologi bersama terbitan eSastera, antara yang bakal terbit ialah sebuah antologi terbitan Esastera Management Enterprise Indonesia, berjudul ANTOLOGI PUISI TOBA," katanya.
Mengulas mengenai perancangan bagi mengembangkan lagi kumpulan GLP itu, Ilya berkata, mereka akan meneruskan promosi di Indonesia dengan lebih giat.
"Mungkin album yang akan datang kami akan memuatkan lagu kami dari puisi penulis Indonesia, atau puisi penulis eSastera Malaysia dan meminta penerbit Muzik Indonesia untuk hasilkan lagunya.
"Kami juga akan memperkemas lagi promosi lagu-lagu GLP yang telah pun ada dalam saluran radio RTM di Malaysia, dengan menjelajah lebih banyak konti radio untuk promosi album, khasnya album terbaru kami, DOT DOT DOT," katanya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: