Sunday, January 10, 2016

Langit Cinta bakal ulangi kejayaan Ombak Rindu?




Langit Cinta bakal ulangi kejayaan Ombak Rindu?

PADA 2011, nama Osman Ali melonjak naik ekoran kejayaannya menggarap naskhah adaptasi novel, Ombak Rindu yang mencatat kutipan tiket RM10.9 juta.
Kini, Osman kembali dengan buah tangan terbaharu, Langit Cinta yang diinspirasikan dari kisah cinta ibu dan bapanya. Lebih menarik, naskhah filem yang menyaksikan Osman bertindak selaku penulis skrip dan lakon layar itu telah diadaptasi ke novel menerusi sentuhan penulis hebat, Damya Hanna dan diterbitkan Alaf 21 di bawah Kumpulan Media Karangkraf.
Filem yang menjalani penggambaran di Pulau Tuba, Langkawi, Kedah, Sabah dan Kuala Lumpur dijayakan barisan pelakon hebat seperti Nurfazura, Keith Foo, Farid
Kamil, Siti Saleha dan turut dibantu Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy), Zaidi Omar, Datuk Jalaluddin Hassan, Dian P Ramlee, Normah Damanhuri, Nadzmi Adhwa dan Ammar Alfian Aziz.
Penulis yang berpeluang menyaksikan tayangan filem yang diterbitkan Astro Shaw Sdn Bhd baru-baru ini, merasakan Langit Cinta mampu mengulangi kejayaan Ombak Rindu.
Biarpun jalan ceritanya dilihat agak klise, namun ia adalah kebiasaan yang disukai oleh penonton.
Dengan elemen drama, cinta dan air mata, anda pasti akan tersentuh dengan kisah cinta dua darjat yang terpisah kerana kemalangan yang tak terduga.
Langit Cinta mengisahkan Alif Zulkarnain (Keith), seorang anak yang patuh pada ibu bapa dan mewarisi perniagaan keluarga. Ketika mahu membangunkan resort di Pulau Perindu, dia jatuh cinta dengan seorang gadis kampung bernama Khadijah (Fazura).
Walaupun hubungan itu ditentang keluarga, namun Alif nekad memperisterikan Khadijah. Dari situ, kehidupan Alif dilanda pelbagai dugaan.
Cabaran demi cabaran harus ditempuh dua insan itu apabila Alif hilang tanpa khabar berita. Secara keseluruhannya, perjalanan filem ini bermula sedikit perlahan dan
penonton sudah boleh meletakkan jangkaan awal bahawa Alif akan jatuh cinta dengan Khadijah.
Bagaimanapun, tatkala konflik perkahwinan tanpa restu bermula, maka bermula jugalah episod meruntun jiwa yang boleh dirasai oleh penonton.
Apatah lagi, lakonan mantap Fazura yang berjaya lari dari imej wanita urban ke gadis kampung yang polos menambahkan lagi emosi penonton dengan penjiwaan watak yang berkesan dari wanita berusia berusia 33 tahun ini.
Menghayati jiwa seorang wanita yang terpaksa kuat dan tabah mengharungi pelbagai dugaan dalam penantian yang belum menemui titik noktah menambah rasa kasihan penonton terhadap Khadijah.
Begitu juga dengan lakonan Farid sebagai Budiman yang terus melindungi dan mencari ruang mendapatkan cinta seorang wanita yang sudah lama dicintainya.
Permainan watak dan emosi yang berkesan dari Farid membuatkan ada ketikanya karakter Budiman lebih meninggalkan kesan berbanding Alif.
Namun bukanlah bermakna Keith tidak bagus dan tidak berjaya meninggalkan kesan kepada penonton.
Pada pandangan penulis, ketiga-tiga pelakon utama ini saling melengkapi.
Sinematografi kelas A
Seperkara lagi yang menarik mengenai filem ini adalah sinematografi yang cukup membuai perasaan.
Seawal babak pertama lagi, Osman telah berjaya menimbulkan rasa kagum penonton terhadap ciptaan ALLAH SWT yang cukup cantik.
Suasana di Pulau Tuba yang menyaksikan laut jernih, tenang dengan pantai yang memutih membuatkan sesiapa sahaja terbuai dengan pergerakan sinematografi dari Osman.
Bahkan bak kata Ogy selesai tayangan filem berkenaan baru-baru ini,  Osman ada seorang pengarah yang bijak dalam menterjemahkan karyanya menerusi metafora tertentu dalam babak yang dipaparkan.
Masakan tidak, setiap babak sebenarnya ada metafora tersendiri, bahkan sehingga babak di Sabah, Osman tetap mengekalkan lokasi menarik untuk diselitkan di dalam filem ini.
Ditambah pula dengan runut bunyi filem ini yang berjudul sama, Langit Cinta, nyanyian Dayang Nurfaizah berjaya membuai perasaan sesiapa sahaja.
Justeru, bagi anda yang ingin mengetahui kesudahan kisah Alif dan Khadijah, jangan lupa untuk menyaksikan filem ini dan mendapatkan novel Langit Cinta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: