PERJALANAN karier seni kumpulan Hufaz tidak begitu menyerlah meskipun sudah bertapak dalam industri nasyid sejak lapan tahun lalu.
Entah di mana silapnya, namun keadaan itu tidak sesekali memutuskan semangat kumpulan yang dianggotai empat anak muda, Amir Arshad, Mohd Aizat Jaafar, Mohd Riezam Ibrahim dan Mohd Izwan Jaimi ini.
Enggan mengalah, Hufaz sebaliknya terus bersikap positif dalam membina karier seni mereka seiring dengan kedatangan tahun baru 2016.
"Menjejaki tahun baru, cita-cita kita adalah untuk terus maju dalam industri nasyid di samping terus berdakwah menerusi lagu.
"Setakat ini, sememangnya kita mempunyai beberapa perancangan untuk dilaksanakan.
"Insya-ALLAH, kami akan berusaha untuk melakukan yang terbaik," kata Mohd Aizat mewakili kumpulannya kepada Zass.
Meskipun nama kumpulan nasyid ini boleh dinilai sebagai ‘tenggelam-timbul’, Hufaz bagaimanapun tidak sesekali berkecil hati dengan situasi tersebut.
Kata Mohd Aizat, tujuan asal penubuhan Hufaz adalah untuk menyemarakkan kembali dunia nasyid.
"Jujurnya, kita tidak bercita-cita tinggi dalam industri ini kerana menyedari akan persaingan hebat yang harus diterima.
"Tambahan pula, setiap ahli mempunyai komitmen masing-masing. Tapi, itu juga bukan bermaksud kita semua tidak serius, cuma mungkin kerana tuah masih belum berpihak lagi.
"Kita bukan pasrah sebaliknya punya perancangan sendiri," katanya.
Pun begitu, Mohd Aizat tetap melahirkan rasa kesyukuran kerana Huffaz mampu bertahan sehingga ke hari ini walaupun pasaran industri nasyid kini semakin perlahan.
"Sememangnya pasaran dilihat agak tidak menentu.
"Tetapi, sebagai sebuah kumpulan yang bertapak hanya ‘sipi-sipi’, kita tetap berterima kasih kepada golongan ‘otai’ dalam industri ini.
"Alhamdulillah, hasil sokongan dan bantuan daripada mereka, Hufaz dapat bertahan sampai sekarang," katanya.
Niat berdakwah
Niat berdakwah
Dalam tempoh itu juga, Hufaz hanya mempunyai sebuah album, Kembali Pada Asas yang diterbitkan oleh Loonaq Records pada 2012.
Kata Mohd Aizat, Hufaz asalnya bermula daripada underground sejak tahun 2003 dan mula bergerak ke aliran muzik perdana pada 2009.
"Di awal pembabitan ke arah mainstream, kita bermula di bawah label rekod yang lain dan ketika itu, kita ada menghasilkan 11 lagu yang tidak sempat diterbitkan.
"Kebetulan, ketika itu, industri nasyid berada dalam keadaan di hujung tanduk dan label rekod itu tidak mahu menanggung risiko kerugian.
"Tetapi, kesemua lagu itu masih lagi disimpan sehingga ke hari ini dan kita berhasrat hendak mengeluarkannya jika ada masa bersesuaian," katanya.
Kemudian, Hufaz berkolaborasi dengan Hijjaz menghasilkan single Selagi Ada Waktu pada 2013.
"Lagu yang dicipta oleh Muniff Ahmad itu merupakan projek Hufaz di bawah label Hijjaz Record.
"Menariknya, lagu itu turut mengungguli Top 10, Carta Nasyid Sepanjang Zaman di saluran radio, Melaka FM," katanya.
Kini, demi meneruskan niat untuk berdakwah, perjuangan Hufaz semakin bermakna dengan kelahiran album kedua, Simfoni Zikir Munajat pada 2014.
Sekali lagi diterbitkan Loonaq Records, kata Mohd Aizat, album itu mempunyai kekuatan dan keistimewaannya yang tersendiri.
"Setiap alunan dan melodi yang digunakan dalam album ini persis alunan zikir munajat yang pernah disampaikan oleh Ustaz Dr Badrul Amin.
"Bezanya, kita menggunakan konsep muzik latar yang mengiringi alunan zikir munajat itu.
"Semuanya berkonsep ‘easy-listening’ dan diharap diterima pendengar," katanya.
Seperti mana album pertama, Hufaz meneruskan untuk memilih menjual album keduanya itu secara dalam talian di www.loonaqrecords.com.my.
Bahkan, kumpulan ini juga banyak bersandarkan kepada laman sosial Facebook lantaran merasakan teknologi itu memainkan peranan besar terhadap kelangsungan hidup Hufaz.
"Laman sosial seperti Facebook begitu membantu untuk terus diterima kerana ia memudahkan perhubungan dua hala antara peminat dan Hufaz.
"Segala maklumat terkini Hufaz dapat dikongsi dengan mudah dan cepat.
"Bahkan, album juga banyak dijual menerusi dalam talian kerana lebih banyak permintaannya," katanya.
Pada masa sama, menyedari irama nasyid tempatan mudah diterima luas di luar negara, Hufaz turut menyimpan impian untuk menempa nama ke peringkat antarabangsa, suatu hari nanti.
"Perkembangan nasyid tempatan membuktikan bahawa kita diterima oleh negara luar. Contohnya, kebanyakan tempat di Indonesia boleh menerima lagu-lagu nasyid tempatan.
"Selain merancang untuk melebarkan sayap ke Indonesia, kita juga mahu melihat lagu-lagu kita diterima di seluruh dunia Islam. Untuk lagu Idola, kami ada mendapat permintaan untuk merakamkannya dalam bahasa Arab dan Inggeris.
"Hufaz juga menerima undangan melakukan persembahan di luar negara antaranya di Thailand dan Aceh, Indonesia," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: