Friday, January 1, 2016

Konservasi Gajah di Simfoni Alam




Konservasi Gajah di Simfoni Alam

PENEROKAAN tanah oleh manusia kadangkala menimbulkan masalah kepada hidupan lain sekali gus mengorbankan keselesaan, menjejaskan habitat haiwan dan mendorong kepada kejadian ‘pemberontakan’ khususnya spesies bersaiz besar.
Satu daripada spesies haiwan yang diketahui sangat terjejas ialah gajah yang kini populasinya semakin berkurangan.
Konflik itu yang bakal dipaparkan dalam program Simfoni Alam dengan tajuk Konservasi Gajah pada 3 Januari ini, jam 2 petang di TV1.
Penerbitnya, Izwan Mohd. Mokhtar memberitahu episod kali ini memfokuskan peranan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah yang bertanggungjawab memindahkan gajah liar yang berkongsi habitat dengan manusia ke kawasan perlindungan hidupan liar di Taman Negara.
Katanya, Konservasi Gajah ini menjalani penggambaran di tiga negeri iaitu Pahang, Johor dan Terengganu selama tiga minggu.  
"Operasi pemindahan gajah liar yang pertama di negara ini telah dilaksanakan pada 1974.
"Dengan cara ini, gajah-gajah liar yang diancam kepupusan dapat diselamatkan dan bebas meneruskan kehidupan di kawasan hutan jauh dari penempatan manusia," katanya.
Berkongsi cerita, Izwan mengakui pasukan penerbitan Simfoni Alam melalui satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan yang mana, hampir setiap hari mereka perlu menjejak gajah liar dari awal pagi tanpa dapat meneka situasi bakal ditempuhi ketika penggambaran di Kampung Manchis, Bentong, Pahang.
"Menggunakan teknik single camera, pasukan penerbitan tidak mempunyai banyak pilihan dalam merancang shot kerana situasi sentiasa di luar jangkaan setiap hari.
"Proses pemindahan ini tidak semudah disangka. Kadangkala gajah liar yang ditemui tidak boleh ditangkap serta-merta. Pasukan pemindahan perlu mengambil kira lokasi menembak gajah liar supaya urusan pemindahan lebih mudah," katanya.
Jelasnya, memindahkan hidupan liar ke habitat semulajadi sesuai bukanlah satu penyeksaan kepada haiwan tersebut sebaliknya, memungkinkan bilangan populasi haiwan hampir pupus akan bertambah kelak.
"Perancangan untuk memindahkan gajah yang ditangkap kadangkala terpaksa ditangguhkan jika terdapat tanda-tanda kumpulan gajah liar lain masih berkeliaran di kawasan tersebut.
"Situasi itu secara tidak langsung membahayakan skuad pemindahan," katanya.
Simfoni Alam merupakan salah satu program dokumentari mingguan terbitan Radio Terbitan Malaysia (RTM).
Program dokumentari ini banyak mengisahkan isu-isu alam sekitar, konflik haiwan-manusia, biodiversiti terancam serta isu kepupusan flora dan fauna di negara kita.
Bagi mereka yang tidak sempat menonton, mereka berpeluang menonton di portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: