
Kafe Rakyat 1Malaysia di asrama perempuan UIAM kampus Kuantan menyediakan harga makanan yang berpatutan.
KUANTAN - Kafe Rakyat 1Malaysia yang terdapat di empat institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini dapat membantu golongan pelajar mengurangkan perbelanjaan harian mereka kerana harga makanannya lebih murah.
Pengusahanya, Azhar Ahmad, 42, berkata, dengan RM10, pelajar sudah boleh menikmati sarapan pagi, makan tengah hari dan petang.
Menurutnya, sebanyak 50 jenis lauk, lapan jenis air dan dua jenis sayur menjadi pilihan setiap hari.
“Pengalaman selama 11 tahun mengusahakan kafe rakyat di empat IPT membuatkan saya tak ada masalah untuk menjalankan perniagaan ini.
“Walaupun kos dah meningkat, tapi saya seboleh-bolehnya akan pastikan harga makanan tak naik,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Azhar berkata, dengan pakej sarapan pagi berharga RM2, pelajar boleh memilih 18 jenis menu seperti nasi lemak, mi goreng, nasi himpit dan roti bakar sementara minuman panas dan sejuk diberikan secara percuma.
Katanya, untuk pakej makan tengah hari berharga RM4, pelajar boleh menikmati hidangan nasi putih bersama pilihan lauk ikan atau ayam dengan dua jenis sayur dan lapan jenis air sejuk diberi secara percuma.
“Manakala untuk minum petang berharga RM4 kita sediakan beberapa jenis kuih, nasi ayam, mi goreng dan kuetiau sup termasuk minuman diberi secara percuma.
“Bagi yang ingin menikmati hidangan lain seperti nasi arab, mereka boleh mendapatkannya dengan harga di bawah RM6,” katanya.
Azhar berkata, dia kini mengusahakan empat kafe rakyat 1Malaysia di asrama perempuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Kolej Matrikulasi Pahang dan Kolej Poly-Tech Mara di sini membabitkan lebih 4,000 pelajar.
Katanya, selain pakej harga makanan berpatutan dia juga menyediakan makanan secara percuma kepada lebih 40 pelajar yang dikategorikan miskin, pemilihan mereka dilakukan oleh pihak tempat mereka belajar.
“Saya harap dengan mengusahakan Kafe Rakyat 1Malaysia ini, kami dapat bantu golongan pelajar yang kurang mampu dan bukan semata-mata meraih keuntungan berlipat kali ganda,” katanya.
Masjid beri makanan percuma Isnin, Khamis
Menyedari keperluan untuk menyediakan makanan percuma kepada pelajar kurang mampu, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan mengambil inisiatif menyediakan 300 bungkus makanan setiap Isnin dan Khamis.
Timbalan Ketua Pengarahnya, Dr Hasbullah Mohamad berkata, program makanan percuma itu sudah dilaksanakan Februari tahun lalu bagi membantu pelajar kurang mampu.
Menurutnya, kata sepakat dibuat selepas melihat ramai pelajar yang mendapatkan pengesahan pihak pengurusan masjid untuk permohonan zakat.
“Dari situlah kami berbincang untuk mengadakan program makanan percuma ini,” katanya ketika ditemui di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan di sini, semalam.
Beliau berkata, pihak masjid membelanjakan hampir RM12,000 sebulan untuk menyediakan makanan percuma melalui tabung masjid.
Beliau berkata, sumbangan orang ramai melalui tabung kira-kira RM25,000 sebulan dapat dimanfaatkan bagi tujuan berkenaan.
“Kita juga sedang rancang sediakan makanan tengah hari kepada pelajar pada setiap Selasa dan Rabu dengan kos lebih tinggi.
“Bagaimanapun buat masa ini, kita masih membuat perkiraan berdasarkan dana yang ada kerana bimbang ia tidak mampu menampung keperluan,” katanya.
Tambah beliau, selain sumbangan melalui tabung masjid, terdapat juga pihak luar yang bermurah hati menyumbangkan makanan di masjid tersebut.
Katanya, pihak masjid menyediakan dua peti makanan di ruang wanita dan lelaki untuk memudahkan orang ramai meletakkan sumbangan selain berusaha mendapatkan tajaan daripada syarikat korporat.
Dalam pada itu katanya, pihak masjid turut mengupah pelajar melakukan tugas di masjid seperti bilal dan siak.
“Kita turut sediakan bantuan kecemasan kepada pelajar yang ditimpa musibah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: