
Julia bergambar dengan hasil lukisannya di Pekan Balik Pulau.
BALIK PULAU - Seni lukisan jalanan kini semakin mendapat tempat di Pulau Pinang malahan beberapa bangunan lama menjadi tumpuan beberapa pelukis luar negara untuk memberikan sentuhan unik pada dinding premis berkenaan.
Kepopularan mural dihasilkan Ernest Zacharevic dan beberapa pelukis seni jalanan lain menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara sejak dua tahun kebelakangan ini.
Kesinambungan itu kini disambut pelukis jalanan dari Rusia, Julia Volchkova yang memilih Pekan Balik Pulau sebagai kanvas peribadinya.
Wanita cantik berusia 28 tahun itu berjaya menarik kehadiran pelancong apabila menghasilkan mural dua pesilat bertarung di dinding sebuah bangunan lama di pekan berkenaan.
Julia menghasilkan mural itu kerana kagum melihat budaya masyarakat di negeri ini.
Menurutnya, dengan melukis, dia dapat mempelajari budaya di sesebuah negara dan merasakannya sesuatu yang sangat menyeronokkan.
"Bagi menghasilkan mural pesilat, saya mengambil masa selama lima hari untuk menyiapkannya," katanya.
Selain mural pesilat, Julia turut menghasilkan mural seorang warga emas sedang menjahit jala di dinding sebuah bangunan lama di pekan itu.
Julia berkata, dia tertarik membuat lukisan lelaki kaum Cina itu setelah melihat warga emas berkenaan sibuk menyiapkan jala di Teluk Kumbar.
“Ia adalah sesuatu perkara yang amat sentimental kerana seorang pakcik yang begitu tua masih berusaha mencari rezeki dan membuat sesuatu yang mungkin orang muda sekarang susah untuk melakukannya,” katanya.
Lukisan nelayan tua itu dilukis di dinding kedai tinggalan perang yang terletak bersebelahan Pasar Balik Pulau.
Mural Julia beridentiti
Keunikan mural dihasilkan Julia menimbulkan rasa kagum kepada siapa sahaja yang melihatnya.
Peminat mural, Rozali Che Din, 35 berkata, hasil lukisan dihasilkan wanita itu lain dari yang lain.
“Biasanya jika kita tengok mural lain di Georgetown, saya tak nafikan, memang ada yang cantik-cantik dan menjadi begitu popular. Tetapi hakikatnya ia tidak mempunyai identiti.
“Saya kagum kerana pelukis ini dari luar negara dan berminat melukis mengenai salah satu seni mempertahankan diri kita, iaitu silat, dah ia cukup penuh dengan emosi,” katanya.
Rozali berkata, hasil lukisan itu juga membolehkan pelancong tahu Balik Pulau adalah salah satu lokasi yang mempunyai ramai pesilat malah pelbagai persatuan silat terdapat di pekan itu.
"Saya difahamkan mural pesilat adalah lukisan kedua Julia selepas mural seorang lelaki Cina sedang menjahit jala," katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, pelukis itu dijemput untuk menghasilkan beberapa mural di pekan berkenaan kerana terdapat beberapa rumah tinggalan perang di situ.
Menurutnya, jika boleh beliau mahu jadikan daerah ini sebagai lokasi kedua popular selepas Georgetown yang begitu terkenal dengan mural.
“Selalu kita dengar orang sibuk ke Georgetown, dan mereka fokuskan lokasi itu.
"Sepatutnya bila orang kata datang ke Pulau Pinang mereka boleh datang ke banyak lokasi di negeri ini, seperti Balik Pulau yang mempunyai pelbagai tarikan alam semula jadi. Jadi, memang sepatutnya Balik Pulau ‘diserikan’,” katanya.
Muhammad Bakhtiar turut menggesa mana-mana pelukis tempatan tampil ke depan untuk mengetengahkan bakat mereka.
“Kita mahukan pelukis tempatan turut menghiasi seni mereka di daerah ini dan tidak mahu pinggirkan mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: