
Masjid berusia 115 tahun di Kampung Parit Istana Terachi masih kukuh.
KUALA PILAH – Sebuah masjid di Kampung Parit Istana Terachi terpilih sebagai salah satu bahan kajian oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) bagi menginventorikan masjid lama di seluruh negeri.
Menurut Pengerusi JKKKnya, Md Razali Abdullah, 62, walaupun telah mencecah usia 115 tahun, masjid berkenaan masih kukuh walaupun sebahagian dindingnya telah dimamah anai-anai.
Katanya, masjid dibina pada 1900 itu hanya menggunakan peralatan seperti beliung, kapak dan ketam.
"Walaupun masjid ini sudah tidak digunakan selepas sebuah masjid baru dibina pada 1978, namun khazanah berharga ini tetap dipelihara dengan baik.
"Masjid ini juga mempunyai ukuran yang menarik pada tiang gantung dan tiang serinya. Menurut cerita orang-orang lama, kampung ini mempunyai empat suku utama iaitu Biduanda, Tiga Nenek, Anak Aceh dan Selemak. Jadinya, setiap suku telah membuat ukiran pada 20 batang tiang masjid menjadikan setiap tiangnya mempunyai ukiran berlainan," katanya ketika ditemui.
Hadir sama, Penolong Kurator Unit Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah Bahagian Antikuiti, Mohd Nazim Abd Gaman dan Penolong Kurator Unit Adat Perpatih, Asrul Effendi Kamaruzzaman.
Jelasnya, zaman dahulu, masjid itu menjadi tumpuan penduduk setempat bagi menjalani aktiviti keagamaan dan hanya boleh menampung jumlah jemaah seramai 15 orang dalam satu-satu masa.
"Keluasan masjid tidak besar sangat iaitu 23x23 kaki persegi manakala mimbarnya adalah 9x7 kaki. Sebab itu, sebuah masjid baru perlu dibina untuk tampung jemaah yang semakin meningkat setiap tahun," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: