Saturday, January 16, 2016

Jual ubat dari pagi sampai malam




Jual ubat dari pagi sampai malam
Mereka yang diselamatkan dibawa ke pejabat JKM Seberang Perai Utara.
KEPALA BATAS - "Saya jual ubat ini untuk bantu sekolah," kata salah seorang daripada tujuh kanak-kanak yang diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam satu operasi sekitar Bertam, semalam.
Dalam operasi yang turut disertai Jabatan Agama Islam Negeri dan pihak polis itu, tujuh kanak-kanak terbabit dipercayai pelajar sebuah sekolah tahfiz di Yan, Kedah.
Azri (bukan nama sebenar), 14, berkata, setiap hari seorang lelaki yang dipanggil ustaz akan menghantarnya bersama beberapa lagi rakan di kawasan sekitar Kepala Batas.
“Setiap hari ustaz akan hantar kami ke sini, saya cuma jual produk ini nak bantu sekolah.
“Kami dihantar ke sini jam 10 pagi, nanti malam baru ustaz datang ambil,” katanya.
Katanya, dalam sehari dia memperoleh sekitar RM100 hingga RM150 hasil menjual ubat untuk kecerdasan minda itu.
“Hasil jualan tak tentu bergantung pada keadaan.
“Tapi ustaz tak pernah marah kalau apa yang kami jual ni tak habis,” katanya.
Rakannya, Azhar (bukan nama sebenar), 12, berkata, ibu bapanya juga tahu yang dia menjual ubat untuk bantu pihak sekolah.
“Mak ayah tahu, mereka tak marah bila saya cakap buat macam ini nak bantu sekolah.
“Ustaz akan bagi duit makan kepada kami sebanyak RM6, duit itu kami akan guna untuk makan sebelum pergi jual ubat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JKM Negeri, Said Sidup berkata, operasi itu dijalankan selepas pihaknya mendapat maklumat mengenai kanak-kanak yang menjual ubat di kawasan berkenaan.
“Memang ada di antara kanak-kanak ini yang mengatakan mereka melakukan secara sukarela, namun pada hakikatnya ianya merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Menurutnya, justeru itu pihaknya berharap agar ibu bapa yang menghantar anak-anak di sekolah agama mahupun pusat pengajian agar sentiasa peka dengan apa yang berlaku terhadap anak-anak mereka.
“Buat masa ini kanak-kanak ini akan ditempatkan sementara di rumah pelindungan kanak-kanak Kepala Batas mengikut Seksyen 18 Akta Kanak-kanak sementara menunggu perintah mahkamah.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar segera melaporkan kegiatan ini sekiranya melihat kegiatan ini melalui talian kasih di nombor 15999,” katanya.
Katanya, selain kanak-kanak, pihaknya turut menahan empat lelaki dan dua wanita dewasa yang sedang mengemis sekitar pasar malam di Kepala Batas serta Seberang Jaya.
Operasi yang dijalankan kira-kira jam 5 petang ini hingga jam 9 malam melibatkan 70 anggota dan memfokuskan kawasan-kawasan yang dipercayai menjadi tumpuan kanak-kanak serta pengemis.
Antara kawasan yang menjadi tumpuan operasi termasuk sekitar kawasan pasar malam Kepala Batas, sekitar kawasan perniagaan di Bertam Indah dan beberapa lokasi lain di Seberang Jaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: