
Sarumi mengecat sendiri bunga daun getah yang dihasilkannya.
SEGAMAT - Seorang warga emas di Kampung Melayu Raya, di sini, bijak memanfaatkan sumber yang ada di sekelilingnya dengan menjadikan daun getah sebagai gubahan dan hasil kraf tangan.
Sarumi Bosrom, 67, berkata, dia telah menceburi bidang perusahaan gubahan bunga berasaskan daun getah sejak 15 tahun lalu dan kini menjadikannya sebagai punca pendapatan utamanya.
“Makcik ada kebun getah dan selepas dapat bimbingan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) pada 2002, makcik mula aktif dalam pembuatan bunga daun getah ni.
“Pada mulanya, orang tak tahu ada bunga daun getah kerana tak ramai pengusaha yang jalankan perniagaan ini di sini. Mereka lebih tertumpu kepada bunga hidup dan tiruan, tapi lama-kelamaan ia semakin dikenali,” kata ibu lima anak ini.
Menurutnya, keunikan seni gubahan bunga daun getah berbeza daripada bunga lain menambat hati orang ramai terutama golongan wanita yang gemarkan sesuatu yang cantik dan bersifat semula jadi.
Sarumi berkata, daun getah yang digunakan untuk gubahan adalah daun getah muda dan perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum digubah menjadi kuntuman bunga.
“Daun getah yang berkualiti dan tidak berbintik akan direndam dalam air biasa selama sebulan untuk melunturkan warna hijau pada daun tersebut, selain membolehkan daun dan urat daun dapat diasingkan.
“Selepas warna luntur, daun getah akan direndam pula dalam cecair peluntur selama sejam untuk tujuan memutihkan urat-urat daun sebelum dikeringkan di dalam bengkel,” katanya.
Tambahnya, selepas itu, daun getah tersebut boleh digubah menjadi kuntuman bunga mengikut kreativiti sendiri dan antara jenis gubahan daun getah yang sering dapat permintaan adalah seperti kuntuman ros, tulip, serta kekwa.
Katanya, dia juga memperoleh peruntukan daripada Risda beberapa tahun lalu untuk membuat bengkel khas bagi gubahan daun getah, selain aktif menyertai pameran di peringkat daerah atau kebangsaan seperti Karnival Usahawan Desa (KUD).
“Kadangkala makcik gubah bunga ikut idea sendiri, selain ambil kira pandangan dan kehendak pelanggan, hingga kini tempahan untuk bunga telur paling banyak,” katanya.
Jelas Sarumi, pasaran bunga daun getah hasil gubahannya juga semakin meluas dan dikenali kerana keunikannya, selain pernah mencuba menghasilkan bunga telur menggunakan daun pisang.
“Sekiranya dijaga dengan cermat dan berhati-hati, bunga daun getah ini boleh bertahan sehingga lima tahun lamanya dan hanya perlu disemburkan dengan air bersih,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: