Friday, January 1, 2016

Jangan Ambil Botol Itu: Taruhan terbaru Shuhaimi Lua




Jangan Ambil Botol Itu

KEBOLEHAN Shuhaimi Lua dalam mengarahkan naskhah berat seperti drama bersiri Maaf Jika Aku Tak Sempurna, Bencinta, Ramadhan Jangan Tinggal Kami sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi.
Bukan hanya berkebolehan dalam pengarahan drama air mata dan sarat konflik, Shuhaimi membuktikan dia juga pengarah serba boleh setelah sentuhannya menerusi drama komedi seperti Abang Sado Kau Ado, Besan Tiga Segi dan Kampungku Aidiladha turut mendapat sambutan penonton.
Terbaru, Shuhaimi tampil dengan telefilem, Jangan Ambil Botol Itu yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran di sekitar Kuang dan Rawang dari 22 hingga 28 November lalu.
Telefilem bergenre komedi itu menampilkan gandingan Hairul Azreen, Nadzmi Adhwa bersama Jalil Hamid, Rashidah Jaafar dan turut menyaksikan penampilan istimewa Syafiq Kyle, Ben Amir, Zaidi Rock dan Shuhaimi sendiri.
Bakal disiarkan di slot Skrin Di 9 di TV9, 4 Januari ini pada jam 8.30 malam.
Berkongsi mengenai pembikinan telefilem itu, Shuhaimi berkata, biarpun dia sering mengarahkan karya berat, genre komedi juga menjadi antara genre yang disukainya.
"Selalu kalau siapkan drama bersiri yang berat-berat penuh air mata, memang kerja lebih sikit.
"Tapi tak bermakna untuk naskhah komedi saya buat lebih kurang sahaja. Tapi tekanan mengarah naskhah komedi tak sama dengan naskhah berat.
"Untuk telefilem ini dalam babak tertentu saya ada masukkan kesan khas untuk memberi kelainan sikit kepada drama ini," katanya kepada Zass.
Shuhaimi berkata, biarpun telefilem itu adalah sebuah karya komedi, dia tetap menitikberatkan penyampaian mesej namun dengan cara yang santai.
"Telefilem ini bukan hanya untuk suka-suka dan ketawa sahaja, tapi ada mesej penting terutamanya mengenai dadah yang cuba saya sampaikan," katanya.
Cabaran tersendiri
Ditanya cabaran menyiapkan telefilem itu, Shuhaimi berkata, penglibatan dua pelakon utamanya iaitu Hairul dan Nadzmi yang bukan datang dari latar belakang pelawak atau pelakon komedi memberi sedikit cabaran kepadanya.
"Kedua-dua pelakon ini dicadangkan oleh stesen TV dan ia sedikit sebanyak memberi cabaran kepada saya untuk membentuk mereka menjadi pelakon komedi, kerana kalau nak buat lawak bukannya boleh dipaksa atau dibuat-buat.
"Hairul memang pernah jayakan filem komedi tapi dia dah lama tak berlakon semenjak kahwin, manakala Nadzmi tak pernah berlakon naskhah komedi.
"Tapi ternyata jangkaan saya terhadap dua pelakon ini meleset kerana mereka beri lebih lagi dari apa yang saya harapkan. Mereka sangat komited di lokasi, termasuk pelakon lain yang terlibat," katanya.
Tambah Shuhaimi, dia juga tidak berdepan cabaran lain kerana mengamalkan cara kerja yang teratur termasuk perbincangan bersama kru produksi sebelum penggambaran.
"Saya suka suasana kerja yang gembira, suka-suka. Biasanya sebelum mula penggambaran, saya akan berbincang dengan kru dan beritahu mereka apa yang saya mahu. Jadi apabila penggambaran bermula, mereka tahu apa yang saya mahu dan kerja pun lancar," katanya yang berharap penonton akan terhibur menyaksikan telefilem itu.
Jangan Ambil Botol Itu mengisahkan Jamal, anak kepada Lebai Tahir yang nakal. Sikapnya bertentangan dengan bapanya yang juga seorang imam dan penceramah agama disegani di kampung mereka.
Walaupun Jamal pernah dihantar belajar di sekolah agama, kelakuannya tidak berubah. Semua ilmu yang diajar di situ jarang diamalkannya.
Sebaliknya dia lebih gemar berpelesiran dan lepak bersama-sama rakan sekampung yang tercicir dari alam persekolahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: