Kerja pembersihan bangkai ikan sedang dilakukan di Sungai Melaka berhampiran Bachang, semalam.
BANDARAYA MELAKA - Bau busuk di Sungai Melaka berhampiran Bachang di sini, terjawab apabila ia dipercayai berpunca akibat ribuan bangkai ikan tilapia mati sejak petang kelmarin.
Difahamkan, kejadian itu bukan kali pertama berlaku sebaliknya lebih kurang lima kali pada tahun ini, namun tiada siapa mengetahui punca kematian ikan tersebut.
Penduduk, Abdul Rahim Hanipah, 61, berkata, kejadian disedarinya ketika keluar berjalan-jalan di kawasan sungai di belakang rumahnya itu lebih kurang jam 6.30 petang.
“Mula-mula saya terhidu bau busuk dan apabila saya lihat ke dalam sungai, saya nampak banyak ikan telah terapung malah bau bangkai jadi lebih meloyakan pagi ini (semalam),” katanya ketika ditemui di Taman Rumpun Bahagia, di sini, semalam.
Sementara itu, Mohd Nahar Abdullah, 69, pula berharap supaya pihak berkaitan dapat mengatasi masalah berkenaan kerana kerap kali berlaku.
"Kawasan ini menjadi kawasan tumpuan orang ramai untuk beriadah terutamanya pada waktu pagi dan petang tapi jika masalah seperti ini tidak diatasi ia akan menjejaskan kawasan ini,” katanya.
Tinjauan di lokasi mendapati, kerja membersihkan bangkai ikan tersebut dimulakan sejak pagi dan selesai lebih kurang jam 12 tengah hari.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, Mohamad Radzi Abdul Talib berkata, kejadian mungkin berpunca kekurangan oksigen di dalam air sehingga menyebabkan kematian ikan tersebut.
“Langkah pertama yang kita ambil adalah membersihkan ikan yang mati ini bagi mengelak pencemaran pada air sungai. Selain itu kita juga akan menyiasat untuk mengatasi masalah ini daripada berulang,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: