Saturday, January 2, 2016

Fida Ibrahim Terkilan Disingkir Rakan Kongsi




Fida Ibrahim
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Fida Ibrahim mengakui serik apabila ditipu rakan kongsi dalam perniagaan pakaian yang diusahakan awal tahun 2015 lalu.

Fida atau nama sebenarnya, Rafidah Ibrahim, 29, berkata, rakan kongsinya dalam perniagaan yang diusahakan beberapa bulan itu bertindak menyingkirkan namanya dalam perniagaan berkenaan.

"Sedih dan terkilan kerana saya tidak sangka dia tiba-tiba berubah sikap dan membuang nama saya dalam perniagaan terbabit.

"Dia bagi alasan bahawa perniagaan tersebut tidak mendapat sambutan dan ingin menutup bisnes itu secara tiba-tiba. Apabila saya pergi kedai masih beroperasi seperti biasa, namun dia telah menukar nama dan milik kedai tersebut," ujarnya kepada mStar Online.

Fida ditemui ketika majlis yang dianjurkan oleh butik Pret-A-Porter di G Village di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, dia cuba berusaha untuk bertemu dan meminta penjelasan daripada rakan kongsi tersebut, namun usaha itu hanya sia-sia.

“Sebelum ini kami hanya berbincang menerusi mesej di Whatsapp. Bila dah bagi alasan macam-macam, barulah saya sedar saya kena tipu dan banyak alami kerugian apabila saya turut melabur dalam perniagaan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Fida berkata, dia enggan mengambil tindakan undang-undang kepada individu tersebut berikutan dirasakan tidak berbaloi.

Katanya, biarlah insiden tersebut menjadi pengajaran paling bermakna dalam dirinya dan sebagai semangat untuk dia mencuba perniagaan lain.

“Cara pengurusannya ketika itu tidak menggunakan sebarang dokumen, hanya melalui sistem tunai dan susah untuk dapatkan bahan bukti.

“Cumanya dalam perniagaan jangan buat macam ni (menipu) sebab ada waktu kita menipu berada di atas tetapi ada masa kita akan berada di bawah, perniagaan seperti roda,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: