Monday, January 18, 2016

'Belanja sekolah saya hanya cukup untuk beli nasi'




'Belanja sekolah saya hanya cukup untuk beli nasi'
Nur Qashrina Adani Abdullah (kiri) dan Khaafi Kamel Mohammad, antara murid yang menerima sumbangan kelengkapan sekolah dari Hotel Renaissance
KOTA BHARU - “Setiap hari, perbelanjaan sekolah saya RM2, hanya untuk membeli nasi sahaja,” kata pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail 3, Khaafi Kamel Mohammad, 10.
Dia yang berasal dari Kampung Paya Senang, di sini, berkata, duit belanja itu hanya cukup untuk membeli nasi di kantin sekolah.
“Emak bagi RM2 dan kalau ada kelas fardu ain, RM3. Saya hanya beli nasi dan air hanya bekal dari rumah. Itu sahaja yang mampu emak saya bagi.
“Walaupun dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan, namun ia tak melunturkan semangat saya untuk belajar kerana mahu bantu emak nanti,” katanya yang menggunakan basikal untuk ke sekolah.
Tambah Khaafi yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik ini, bapanya meninggal dunia ketika umurnya tiga tahun.
“Untuk menyara perbelanjaan kami sekeluarga, emak bekerja di kedai runcit berdekatan dengan rumah,” katanya yang menetap di rumah pusaka peninggalan arwah bapa.
Sementara itu, Nur Qashrina Adani, 10, yang dibesarkan oleh neneknya di teratak usang di Kampung Batu Dua, di sini, telah kehilangan bapa sejak kecil lagi.
“Sejak kecil, saya tinggal dengan nenek. Ibu ada, tapi dia bekerja di Kuala Lumpur. Dia hanya balik bila ada cuti sahaja.
“Kesempitan ini membuatkan saya bersemangat untuk belajar. Bila besar nanti, saya nak jadi doktor, boleh tolong orang sakit,” katanya lagi.
Khaafi dan Qashrina adalah antara 202 murid di beberapa sekolah yang menerima sumbangan daripada pihak pengurusan, Hotel Renaissance, dengan kerjasama Kelab Lion KB Blossoms.
Menurut pengarah program, Nur Laila Yusoff, program, ‘Make My Wish Come True’ itu menyenaraikan keperluan sekolah untuk murid yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah di bawah RM800 sebulan dan anak-anak yatim.
“Antara sumbangan yang disalurkan adalah peralatan sekolah termasuk baju, kasut, beg dan kelengkapan alat tulis.
“Diharapkan sumbangan ini mampu meringankan beban keluarga mereka dan menyuntik semangat murid-murid untuk terus berjaya tanpa memikirkan kesempitan yang dialami,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: