Saturday, January 16, 2016

‘Baca setakat yang mampu’




‘Baca setakat yang mampu’
Zainab masih mampu membaca al-Quran tanpa bantuan cermin mata sekalipun usianya dikatakan 108 tahun.
MACHANG -  "Makcik baca Quran setakat yang mampu. Bacaan pun tak lah sebaik mana," kata warga emas, Zainab Sulaiman merendah diri kerana masih mampu membaca kalam ALLAH itu dengan baik tanpa bantuan cermin mata pada usia dikatakan 108 tahun.
Selain itu, dia yang pernah tinggal dan belajar mengaji memberitahu, pendengarannya juga tidak mengalami masalah dan masih dikurniakan kesihatan yang baik cuma kehilangan kudrat untuk berjalan, sebaliknya sekadar mengengsot di dalam rumah untuk bergerak.
"Anak-anak semua dah berdikari. Makcik pun tak ada apa nak buat kat dalam rumah, jadi habiskan masa yang ada dengan mengaji, solat dan sulat sunat. Apa lagi yang boleh makcik nak buat pada umur macam ni... ni jelah yang makcik buat untuk isi hari-hari terakhir sebagai hamba ALLAH sebab dulu masa umur muda sibuk kerja tolong suami cari rezeki," katanya yang ditemui di rumah anaknya di Kampung Dewan Kechik, di sini, semalam.
Dia yang berasal dari Kampung Jakar, Temangan itu kelihatan masih sihat, malah wajahnya tidak lekang dengan senyuman ketika bercerita kisah hidupnya.
Ketika ditanya rahsia pemakanannya, Zainab berkata, dia masih mengamalkan makan ulam-ulaman sama seperti yang diamalkan ketika usia muda dan kurang menyukai makanan moden.
Katanya, ulam-ulaman dan budu tetap menjadi pilihannya sekalipun diperkenalkan dengan pelbagai jenis makanan.
“Alhamdulillah makcik diberi kesihatan baik malah masih berselera makan dan minum. Bongkok dan tak mampu berjalan ni biasalah, bila umur dah meningkat. "Biasanya dalam sebulan ke dua bulan, makcik akan khatam al-Quran. Makcik bersyukur masih diberi ruang dan waktu untuk beribadah dan berharap terus diberi peluang ini hingga ke akhir hayat,” katanya.
Anaknya, Esah Ismail berkata, kesihatan ibunya kadangkala lebih baik daripadanya yang mempunyai masalah pendengaran.
Katanya, ibunya bergilir-gilir tinggal di rumahnya dan adik-beradik yang lain selepas tidak lagi tinggal di pondok sejak beberapa tahun lalu.
Tambahnya, dia tidak menolak kemungkinan kekerapan membaca kalam suci ALLAH itu membuatkan penglihatan ibunya masih tajam dan tidak perlukan cermin mata untuk membaca.
“Mak baca al-Quran tak pakai cermin mata, penglihatan dia masih tajam. Dia juga nampak tulisan kecil-kecil... cuma mak tak pandai membaca. Ramai yang tahu umur mak akan tanya apa rahsia usia panjang. Tapi, mak sendiri tak tahu, ini kelebihan yang ALLAH berikan padanya.
"Umur yang tercatat dalam kad pengenalan mak tak menunjukkan tahun kelahiran yang sebenar memandangkan umurnya dah banyak ketika membuat pendaftaran” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: