Tuesday, September 22, 2015

Syarikat pembuatan aluminium diserbu



Syarikat pembuatan aluminium diserbu
Ahmad Zambri (kanan) bersama anggotanya menyita komputer mengandungi perisian palsu dalam operasi di sebuah syarikat pembuatan aluminium, kelmarin.
RAWANG - Sebuah syarikat pembuatan aluminium di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kelmarin, selepas didapati menggunakan perisian palsu jenis Microsoft dan Autodesk.

Ketua Penguatkuasa Daerah KPDNKK Kuala Kubu Baru, Ahmad Zambri Che Long berkata, pihaknya menerima aduan daripada pemegang hak eksekutif hak cipta iaitu di bawah Bisnes Software Alliance (BSA) dan setelah risikan dibuat mendapati wujud aktiviti tersebut.

Menurutnya, pihaknya menyita lima komputer syarikat tersebut untuk siasatan, sebelum proses pendakwaan ke mahkamah dibuat bawah kesalahan salinan langgaran.

“Pemilik hak cipta kerugian puluhan ribu disebabkan aktiviti tersebut dan sepatutnya perisian perlu diperoleh melalui pengedar berlesen dengan harga RM15,000 setiap satu.

“Tindakan penguatkuasa dilakukan mengikut Akta Hak Cipta di bawah Seksyen 41 (1) (d) kerana memiliki salinan langgaran untuk kegunaan persendirian dan domestik yang boleh didenda sebanyak RM10,000 bagi setiap perisian,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, sepanjang operasi dijalankan pihak syarikat memberikan kerjasama dan memahami kesalahan yang dilakukan.

“Difahamkan syarikat dibuka memasuki tahun kelapan itu memberikan alasan tidak tahu menggunakan perisian palsu menjadi kesalahan.

“Seramai tujuh anggota KPDNKK dan empat daripada BSA terlibat dalam operasi berkenaan yang mengambil masa hampir lima jam,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: